13 September 2010

Tahanan ISA terbaru - GMI dan Suaram kecam tindakan KDN

STONE: Dalam diam-diam seorang lagi rakyat tempatan dihantar ke Kemunting. Didakwa terlibat dengan rangkaian keganasan antarabangsa. Apakah dakwaan tersebut dapat dibuktikan?

Kita sekarang menjadi semakin tidak selamat ... Waspadalah !!! Malaysia semakin tidak selamat

Tahanan ISA di Kamunting tambah seorang, KDN dikecam
KUALA LUMPUR, 13 Sept — Dua badan hak asasi manusia mendedahkan seorang rakyat tempatan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas pulang dari Thailand Julai lalu, telah dihantar ke pusat tahanan Kamunting untuk menjalani hukuman dua tahun bermula Khamis lalu.

Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri menghantar Mohamad Fadzullah Abdul Razak, 28, ke Kamunting tanpa pengetahuan keluarga dan peguamnya.

Dia dihantar ke Kamunting 2 September lalu.

Fadzullah ditahan pada 15 Julai selepas dia kembali ke Malaysia dari Thailand dan didakwa terlibat dalam rangkaian keganasan antarabangsa.

“Bagaimanapun dakwaan ini tidak pernah dibuktikan di mana-mana mahkamah terbuka sejak dia ditahan di bawah ISA.

“Sebenarnya, kami meragui sama ada kesemua dakwaan ini boleh dibuktikan di mahkamah terbuka dan dalam perbicaraan yang bebas,” kata kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

GMI dan Suaram berkata perintah eksekutif Menteri Dalam Negeri itu untuk menahan Fadzullah selama dua tahun melanggari soal keadilan.

“Fadzullah telah dinafikan hak asasi manusia yang termaktub dalam Deklarasi Universal Hak Asasi, hak untuk mempertahankan diri di mahkamah terbuka dan mahkamah bebas, hak untuk akses kepada peguam dan hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, GMI dan Suaram berkata Sheikh Abdullah Sheikh Junaidi, 70, seorang rakyat Malaysia yang ditahan pada 11 Ogos telah dibebaskan.

Dia ditahan bersama Mustawan Ahbab, 34, seorang rakyat Indonesia dan Samsul Hamidi, 34, warganegara Malaysia — kedua-duanya masih menjalani tahanan 60 hari di bawah 73(1) ISA.

“Meskipun GMI dan Suaram mengalu-alukan pembebasan ini, kami berpendapat ini satu lagi pembebasan selektif dan masih berpendirian tegas bahawa tiada siapa yang harus ditahan di bawah ISA atau sebarang bentuk tahanan tanpa dibicarakan,” katanya lagi.

Julai lalu, GMI berkata, pihaknya percaya penahanan Fadzullah adalah respons kepada tekanan antarabangsa terhadap ancaman keganasan di Malaysia.

Awal Januari lalu, polis menahan 10 lelaki, didakwa anggota kumpulan keganasan serantau Jemaah Islamiah (JI) dan didakwa mencuba untuk merosakkan rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara masing-masing kecuali Azzahari Murad yang diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad di Petaling Jaya - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive