11 September 2010

TheKelantanInsider kesal lapuran Utusan Meloya

KOTA BHARU, 11 Sept: Blog yang selalu menjadi jurucakap Istana Mahkota Kelantan, TheKelantanInsider kesal dengan laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini yang menyiarkan kononnya Tengku Faris Petra akan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan esok.
"Kami faham bahawa memperolehi “scoop” adalah satu keutamaan kepada mana-mana media, tetapi perlulah diingat bahawa di dalam keghairahan berbuat demikian tata susila juga perlulah sentiasa dijaga, lainlah jika media itu memang memiliki agenda tertentu.
"Jika pada hari ini anda memilih untuk menyusahkan pihak lain, janganlah pula anda menyalahkan pihak itu jika anda berhadapan dengan kesusahan untuk mendapatkan apa-apa berita pada hari esoknya. Setiap yang berlaku tentulah ada sebab-musababnya," tulis blohg itu hari ini.
Utusan hari ini menyiarkan berita kononnya, Pemangku Sultan Kelantan Tengku Faris Petra akana ditabalkan sebagai Sultan Kelantan hari ini.
"Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak setahun lalu.
"Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
"Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi," lapor muka depan akhbar itu
"Kami di The Kelantan Insider merasa terkejut dengan “kebolehan” akhbar Utusan Malaysia menyiarkan satu laporan yang cukup sensasi pada hari raya yang mulia ini dengan hanya berpandukan kepada kata-kata sumber-sumber yang tidak dikenal pasti," tulis blog yang selalu membuat posting pandangan pihak pemangku Sultan Kelantan itu.
Sehubungan dengan itu, blog itu menulis, "kami suka mengingatkan akhbar-akhbar tempatan supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab di dalam menyiarkan sebarang laporan mengenai Istana Kelantan, apatah lagi jika laporan itu mempunyai nilai kesensasian yang tinggi."
Tanpa mengira sama ada sesuatu laporan itu mempunyai kebenaran ataupun tidak, akhbar-akhbar tempatan seharusnya mengikuti apa-apa peraturan yang telah ditetapkan di dalam melaporkan sebarang berita yang ada hubung-kaitnya dengan Istana Kelantan, tulisnya lagi.
Menurutnya, pejabat Sultan Kelantan mempunyai carta organisasinya yang tersendiri di mana ia adalah diketuai oleh Pengelola Istana D’Raja, Datuk Abdul Halim Hamad, yang melaksanakan tugas beliau dengan berpandukan kepada titah-titah Pemangku Raja Kelantan.
"Oleh itu, akhbar-akhbar tempatan mahupun mana-mana media lain sewajarnya merujuk kepada Datuk Abdul Halim Hamad ataupun pegawai-pegawai beliau, khususnya Pegawai Media, dahulu sebelum menyiarkan apa-apa laporan mengenai Istana Kelantan," tulisnya.- HarakahDaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive