17 October 2010

5 ditembak mati di Kuantan

Polis Tembak Mati Lima Lelaki Di Kuantan

KUANTAN: Polis menembak mati lima lelaki dipercayai warga asing di Indera Mahkota di sini selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun, awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T. Narenasagaran berkata sebelum kejadian kesemua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun membabitkan empat sekeluarga di Balok Baru dekat sini pada 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa telah diikat namun salah seorang anak mangsa yang ketakutan telah menjerit menyebabkan penjenayah melarikan diri bersama telefon bimbit, kad ATM, barang kemas dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah motokar di jalan Kuantan By Pass yang dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Katanya, polis cuba menahan kenderaan terbabit namun ia terus memecut laju.

Narenasagaran berkata polis kemudian berjaya menghalang kenderaan terbabit di jalan masuk bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota.

"Anggota terbabit telah memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan penjenayah berkenaan menyerah diri," katanya.

Bagaimanapun katanya penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dan sabit terus melibas dan menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan kelima-lima penjenayah mati di tempat kejadian," katanya.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kesemua penjenayah, kata beliau.

Polis katanya turut menemui semula barangan yang disamun daripada mangsa di dalam kenderaan penjenayah terbabit yang dipercayai dicuri di Cheras pada 2005.

Katanya dengan tertumpasnya kesemua lelaki terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun iaitu lima di daerah Maran, masing-masing satu di Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan.

Sementara itu, mangsa Noraini Aziz, 44, ketika ditemui berkata anak perempuannya berumur 20 tahun yang sedang tidur terjaga selepas menyedari seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam biliknya.

"Anak perempuan saya yang terkejut terus menjerit memanggil saya sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan pisau dan menunjukkan isyarat diam," katanya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dan rakan-rakannya terus melarikan diri selepas jeritan itu bersama barangan yang disamun termasuk wang tunai RM20 dan tiga telefon bimbit.

Katanya dia turut mendapati terdapat beberapa pasang selipar yang bukan milik keluarga mereka di bahagian belakang rumahnya. BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive