18 October 2010

Detik cemas ditawan perompak

KUANTAN: “Ketika perompak itu berdiri di hujung katil, saya hanya terbayang akan ditikam, mati atau dirogol,” kata Nurul Asmidah Takuki, 20, menceritakan saat mencemaskan apabila rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Balok Pine, di sini, dimasuki lima perompak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang daripada lima perompak terbabit dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan sebilah pisau mengopak pintu belakang rumah mangsa sebelum masuk ke satu daripada bilik dalam rumah berkenaan.

Nurul Asmidah berkata, sebelum kejadian, dia tidur lena dalam bilik sebelum terjaga dan terlihat kelibat mencurigakan berdiri di hujung katil.

Menurutnya, sebaik membuka mata, perompak terbabit yang tidak bertopeng menunjukkan pisau sambil memberi isyarat memintanya mendiamkan diri.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketakutan melihat wajah bengis perompak terbabit, dia menjerit memanggil ibunya, Noraini Aziz, 44, yang tidur bersama dua lagi adiknya berusia 11 dan 17 tahun di bilik bersebelahan.

“Perompak itu yang terkejut selepas mendengar suara ibu yang menjawab jeritan saya melarikan diri melalui pintu belakang.

“Selepas membuat pemeriksaan, saya mendapati tiga telefon bimbit bersama wang tunai RM20 dan dokumen penting hilang dipercayai dilarikan perompak terbabit mengakibatkan jumlah kerugian semuanya kira-kira RM400,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak pasti bilangan sebenar perompak terbabit dan kenderaan yang dinaiki, tetapi yang jelas hanya seorang masuk ke dalam bilik tidurnya tanpa menutup muka sebelum lintang-pukang melarikan diri ketika ibunya datang ke biliknya.

Nurul Asmidah berkata, dia juga tidak pasti sama ada lima perompak yang ditembak mati polis berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota, di sini, pagi semalam mempunyai kaitan dengan kejadian samun di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, seorang pegawai polis datang ke rumahnya dengan menunjukkan gambar seorang daripada perompak terbabit dan dia mendapati wajahnya sama dengan perompak yang masuk ke bilik tidurnya.

“Saya mendapati pintu belakang dikopak perompak terbabit selain hanya memikirkan soal mati atau dirogol ketika berdepan perompak terbabit,” kata anak kedua daripada empat beradik.

Bagaimanapun, dia bersyukur tidak dicederakan perompak terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Sementara itu, difahamkan kira-kira jam 3 pagi selepas menyamun rumah berkenaan, kelima-lima penyamun dipercayai warga Indonesia itu ditembak mati polis selepas dikejar kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa - myMetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive