19 October 2010

Janji di Manek Urai belum tertunai

M Faqih

PENDUDUK di kampung Manek Urai hairan tiba-tiba dua papan iklan projek Barisan Nasional (BN) didirikan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Manek Urai Lama.

Pada awalnya hanya di sebelah kampung baru dipasang papan tanda projek tertera gambar dacing. Tidak lama kemudian dipasang pula papan projek BN di Kampung Manek Urai Lama.

Namun papan tanda yang didirikan di Kampung Manek Urai Lama tidak tertera nama kontraktor, sedangkan di kampung baru ada nama kontraktor iaitu Salabumi (M) Sdn Bhd.

Kata orang kampung mengapa seperti tergesa-gesa sangat sehingga ada kepincangan di sana-sini. Lebih mengelikan lagi apabila rumah kontena pula diangkut ke tanah milik penduduk tidak jauh dari jambatan sedia ada Sabtu lepas.

Kemungkinan besar pemilik tanah tersebut pun belum dimaklumkan mengenai penggunaan tanahnya dijadikan tapak pejabat kontraktor.

Lebih menghairankan segala permohonan ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai bagi pengambilan tanah belum dibuat sehingga sekarang.

Malah difahamkan cadangan projek berkenaan juga tidak dibawa ke pejabat JKR Kuala Krai.

Menurut sumber mesyuarat mengenai cadangan membina jambatan baru yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Julai 2009 dibincang pada mesyuarat di JKR Kesedar di Tanah Merah semalam.

Perbincangan itu katanya hanya melibatkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan JKR Kesedar.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, jelas kelihatan projek jambatan baru di Manek Urai dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga kelihatan banyak kecacatan.

”Orang kampung sedar pada awalnya papan tanda projek pembinaan jambatan tidak dilekatkan nama kontraktor, tetapi beberapa hari kemudian baru ditampal.

”Penduduk yang tinggal berdekatan dengan projek pun belum diberitahu pengambilan tanah yang akan dibuat. Ini betul-betul projek mee segera kerana pilihan raya kecil di Galas,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya projek itu benar-benar menjadi kenyataan, ia dapat memberi keselesaan kepada penduduk kerana jalan di atas jambatan menjadi dua lorong.

Namun hairannya mengapa baru ketika kehangatan kempen pilihan raya di Galas JPP tergesa-gesa mahu memberitahu penduduk janji membina jambatan baru tetap ditunaikan.

Agak melucukan juga cadangan pembinaan kompleks sukan di Manjor yang disebut menteri sudah siap 20 peratus, rupa-rupa baru diratakan tanah.

Kerja-kerja menyodok pula baru dilakukan seminggu dua ini. Jauh sekali untuk sampai 5 peratus.

Bahan-bahan binaan seperti kayu atau besi pun tidak kelihatan. Ini keanehan yang dipamerkan Umno dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil Galas.

Belum sempat segala janji di Manek Urai menjadi kenyataan tiba-tiba dinukil pula janji baru di Gua Musang.

Projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta ditabur pula di Gua Musang. Projek itu dijangka akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada 24 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti, Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebelum menabur janji-janji baru lebih baik kerajaan pusat mempercepatkan pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua yang sudah melewati tempoh.

Isu yang cuba digimikkan di Gua Musang hanya terbeban di bahu pengarah pilihan raya BN di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Banyak pihak hairan dengan kemunculan Ku Li secara tiba-tiba.

”Mengapa tiba-tiba baru sekarang pemimpin tertinggi Umno mahu cari Tengku Razaleigh Hamzah,” tulis veteran Umno, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Abdullah juga menulis seorang pegawai tadbir memberitahunya, dahulu Umno berpeluang baik tetapi perkembangan muktahir dalam situasi Kelantan nampaknya tidak memihak kepada Ku Li dan Umno.

Ku Li galas beban Umno ... di sini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive