16 October 2010

Norman Memey dituduh menipu


HULU KLANG: Seorang saksi kes perbicaraan khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey memberitahu Mahkamah Syariah di sini, semalam, dia tidak bersetuju kenyataan di dalam akhbar tidak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

Mohd Yusri Abd Razak, 55, berkata, ia bagi membuktikan terdapat penipuan dan pembohongan yang pernah dibuat kedua-dua artis itu yang menafikan mereka terbabit dalam tuduhan berkenaan.

“Ia penting bagi membuktikan kebenaran yang berlaku membabitkan mereka berdua,” kata pereka bentuk itu berulang kali walaupun ditegah memberi penjelasan terhadap soalan yang dicadangkan Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Dia berkata demikian ketika menjadi saksi keenam pada prosiding khalwat membabitkan Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21.

Dalam perbicaraan semalam, dia turut mengemukakan beberapa keratan akhbar tempatan antaranya Harian Metro berhubung laporan media kes khalwat membabitkan mereka.

Saksi itu bagaimanapun mengakui dan bersetuju dengan cadangan Fakhrul bahawa keterangan pengakuan bersalah yang diberikan oleh kedua-dua artis itu di luar sehingga ke dalam mahkamah adalah konsisten sehingga ke hari ini.

“Ya, saya setuju tapi ia konsisten dengan penafian dan pembohongan,” jelasnya walaupun sekali lagi ditegah Fakhrul.

Norman Hakim dan Memey dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama dan berhadapan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Yusri turut berkata dia tidak berniat menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh sebelum prosiding berjalan sebaliknya untuk membantu menyedarkan mereka.

“Saya bukan Hakim untuk jatuhkan hukuman, saya Yusri bukan Norman Hakim.

“Media digunakan untuk menyindir perbuatan mereka yang masih tinggal bersama supaya mereka sedar dan tak ulangi kesalahan sama,” katanya menjawab soal balas oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhammad Nazri Basrawi bagi menjelaskan soalan yang dicadangkan pihak pembelaan berhubung tindakannya memberi kenyataan kepada media.

Perbicaraan bersambung pada 22 Oktober ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive