08 October 2010

PKR: Tindakan undang-undang ke atas Rahimi

PETALING JAYA: Dua Peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli mendakwa tiada sebarang unsur penahanan atau paksaan ke atas bekas Setiausaha Sulit Penasihat PKR, Muhamad Rahimi Osman berhubung dakwaan dipaksa menandatangi akuan bersumpah (SD).

Malah mereka memberitahu, terdapat ramai pemimpin parti yang kebetulan berada di Hotel Qualiti, Shah Alam bagi menghadiri seminar menjadi saksi bahawa Rahimi secara sukarela hadir ke Hotel Qualiti di Shah Alam pada tahun 2008 itu.

Pada satu sidang media bersama seorang lagi peguam, Saiful Izham Ramli di ibu pejabat parti di sini, Khamis, Latheefa yang juga Ketua Penerangan PKR memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jika tidak memohon maaf dan menarik balik fitnah dan pembohongan yang didedahkan pada Rabu.

"Dia berada di hotel itu atas kehendaknya sendiri sepanjang masa, bebas dan secara sukarela membantu kami dalam kes Anwar.

"Tuduhan Rahimi yang mendakwa bahawa SD itu diubah untuk memasukkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) dan Datin Seri Rosmah Mansor adalah mengarut dan tidak benar sama sekali.

"Ini kerana maklumat yang sama diberikan Rahimi kepada mereka adalah selari dengan dengan kenyataannya kepada polis pada 23 Julai 2008. Dia sahkan bahawa tahu (Mohd.) Saiful (Bukhari Azlan) telah menemui Najib dan Rosmah," jelasnya.

Muhamad Rahimi, 26, semalam mendakwa dipaksa menandatangani dua surat akuan bersumpah pada tahun 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada tuduhan liwat.

Dakwaan itu dibuat oleh Muhamad Rahimi dalam satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Klang dengan ditemani seorang peguam.

Di dalam laporannya itu turut menyebut nama Latheefa dan Saiful Izham sebagai peguam yang terlibat.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, Muhamad Rahimi yang merupakan rakan kepada rakan Mohd Saiful yang mendakwa diliwat Anwar turut memberitahu polis bahawa dia dibawa oleh Datuk Mumtaz Jaafar, rakan baik Rosmah untuk menemui Najib dan isterinya itu.

"Muhamad Rahimi berkongsi maklumat ini dengan kami selepas memberikan keterangan kepada polis. Dia juga memberitahu polis menemui Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor dan pegawai polis dikenali sebagai Rodwan berpangkat Senior Asisten Komisioner," ujarnya.

Sementara itu, peguam N Surendran berkata, kenyataan Muhamad Rahimi itu jelas pembohongan dan fitnah terhadap dua anak guamnya itu.

"Tanpa ragu, kami merasakan ia merupakah satu fitnah. Satu surat peguam akan dikeluarkan menuntut dia menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang," tegasnya. - mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive