11 October 2010

PRK DUN Galas : PAS BN akan umum calon 24 Oktober

PASIR MAS, 11 Okt – PAS akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 24 Oktober, kata Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kali ini akan diumum pada 24 Oktober ini iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Pengumuman calon BN itu akan dibuat di Galas atau Gua Musang.

Perkembangan itu menunjukkan BN dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sama ketika pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang tahun lalu.

Abdul Fatah berkata semua senarai calon parti itu untuk pilihan raya tersebut telah diserahkan kepada Dewan Syura untuk diperhalusi sebelum diputuskan secara muktamad.

“Kita (PAS) bercadang membuat pengumuman nama calon 24 Okt ini serentak dengan hari pengumuman yang akan dibuat oleh parti lawan BN (Barisan Nasional), ini dikirakan sesuai dan adil bagi semua pihak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, mengikut kebiasaannya selepas mengumpul senarai nama calon berkenaan, anggota pimpinan PAS pusat akan membuat kaji selidik dan semakan secara terperinci latar belakang calon terbabit sebelum membuat keputusan.

“Mereka akan turun ke bawah untuk memastikan calon yang paling sesuai dan memenuhi ciri-ciri kriteria yang dikehendaki sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat membayangkan bahawa Orang Asli adalah antara senarai nama calon yang dicadangkan oleh parti kawasan berkenaan untuk diserahkan ke peringkat pimpinan parti itu.

Mengenai pelancaran jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi kempen di kawasan Galas itu, Abdul Fatah berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan majlis pelancaran jentera pilihan raya itu pada 19 Oktober ini.

“Tarikh itu dianggap sesuai sebagaimana dipersetujui Menteri Besar Kelantan itu sendiri,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November jika ada pertandingan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Che Sulaima akibat barah usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkann hari penamaan calon ialah pada 26 Oktober.

Sementara itu, calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Galas di Kelantan akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno yang dijadual minggu depan, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, beliau berkata persoalan mengenai soal calon itu tidak dibincangkan semasa pertemuannya dengan Najib di Parlimen, hari ini.

Mengenai kemungkinan beliau dicalonkan, Tengku Razaleigh, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata perkara itu tidak dibincangkan ataupun mengenai senarai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Semasa pertemuan itu, Najib yang juga Pengerusi BN menyerahkan surat pelantikan kepada Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya bagi DUN Galas.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive