26 October 2010

PRK Galas : PAS mula dengan keyakinan 48% - Hadi

Galas: Kempen PAS mula dengan keyakinan 48 peratus, kata Hadi

GUA MUSANG, 26 Okt – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kempen parti itu untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil kali ini bermula dengan keyakinan sebanyak 48 peratus.

PAS merampas kerusi itu buat julung kali pada 8 Mac 2008 menerusi Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia bulan lalu.

Beliau mengulangi alasannya sebelum ini bahawa tindakan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) dilihat satu cubaan merendahkan kedudukan Tengku Razaleigh sendiri.

“Kita sedar akan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh tetapi sikap Barisan Nasional (BN) terhadapnya akan memberi sokongan kepada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun kempen bergerak pada keyakinan tersebut, beliau telah mengarahkan jentera parti dari seluruh negara termasuk dari Kelantan untuk membantu sepanjang kempen mengikut giliran yang telah ditetapkan sehingga hari pengundian.

Bagi Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, peluang Pas untuk menang adalah amat cerah berdasarkan personaliti calonnya yang komited terhadap parti serta telah lama mencurahkan bakti kepada penduduk setempat.

Beliau juga yakin dengan sokongan kaum Cina akan berpihak kepada PAS.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, parti itu akan memberikan sokongan sepenuhnya sepanjang kempen berdasarkan gerak kerja yang diputuskan Jawatankuasa Bersama membabitkan PAS, DAP PKR di mana tumpuan lebih diberikan kepada kubu kuat Umno dan BN.

“Berdasarkan pengalaman lalu, tumpuan seperti ini memberikan kesan yang positif dan dapat melonjakkan sokongan pada Pakatan Rakyat,” katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas yang ditetapkan pada 4 November bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

Hari ini adalah hari penamaan calon.

BN diwakili Abdul Aziz Yusoff manakala calon PAS ialah Dr Zulkefli Mohamad pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive