26 November 2010

Himpunan Penyair-Seniman-Budayawan 1 Muharam di Madrasah Tarbiyah, Gombak

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Satu himpunan penyair, seniman dan budayawan akan diadakan bagi menyuarakan kebimbangan para penggiat seni tentang kepupusan kampung-kampung dari peta Kuala Lumpur.

Menurut penyair terkenal negara, Pyanhabib himpunan tersebut yang dinamakan Himpunan Penyair-Seniman-Budayawan 1 Muharam tersebut bakal diadakan di Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Gombak pada 7 Disember akan datang ini.


"Ini sekadar solidariti rakan-rakan seniman-budayawan-pelukis-penulis-pemuzik kepada budayawan pelukis-penulis Prof. Dr Siti Zainon Ismail yang kampung kelahirannya di situ.

"Pada hari itu akan diadakan pameran lukisan, baca puisi dan muzik," kata beliau kepada FMT hari ini.

Menurut beliau, himpunan tersebut diadakan bagi menyuarakan kebimbangan aktivis seni apabila tujuh buah kampung terakhir yang masih wujud akan mengalami nasib yang sama seperti mana kampung-kampung lain yang telah dihapuskan.

"Apabila beberapa buah kampung yang masih wujud dalam sekitaran kota metropolitan Kuala Lumpur ini hendak dihapus dan dipadamkan daripada peta tamadun kebanggaan kita, apakah kita sebagai manusia tidak tersentuh apa-apa?," ujar beliau.

"Tentu cantik kalau kampung-kampung yang dikenalpasti bukan perkampungan haram seperti tujuh kampung sekitar Bandar Dalam ini dibiarkan wujud.

"Bertaraf haramkah kampung yang usianya 150 tahun dibiarkan wujud, dibina prasarana yang suasananya khusus `kampung’ dan kita pun boleh berbangga di tengah bandar raya masih wujud kampung tradisi.

"Kalau kita boleh bina bangunan tinggi, apa salahnya kampung tradisi dibiarkan wujud? Kalau alasan kampung tradisi itu membiakkan pendatang, boleh sahaja bertindak halau pendatang beserta tuan-tuan rumah yang membiakkan pendatang itu, bukan menghapuskan satu kampung!

"Kalau saya menteri yang berkuasa, saya akan pelihara kampung ini dengan segala kemudahan infrastruktur tetapi dikekalkan sebagai kampung tradisi. Dengan kekalnya kampung tradisi ini sekurang-kurangnya kita juga sudah menyelamatkan alam sekitar!," ujarnya.

Selain itu, orang ramai turut dijemput untuk menyumbangkan sebarang karya seni dengan menghantar puisi, lukisan, sketsa atau fotografi yang bermanifestasikan kepada kepupusan kampung-kampung ini ke emel pyanhabib@gmail.com.

"Tugas saya hanya mengumpul puisi untuk dibukukan. Berdasarkan puisi yang terkumpul setakat ini, hampir 50 buah puisi dikirimkan kepada saya," katanya lagi.

Acara yang menghimpunkan penyair dan aktivis seni lain tersebut akan dimulakan pada jam 5.00 petang dan diikuti pembacaan puisi pada sebelah malamnya dan terbuka untuk orang ramai tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya.

"Apa pun sangat dialu-alukan penyertaan rakan-rakan tanpa kira fahaman politik dan NGO. Sama ada anda Umno, PAS, PKR, MIC, MCA atau Perkasa, anda dialu-alukan sertai solidariti seniman-budayawan ini," menurut beliau.

Sebelum ini, tujuh buah kampung tradisi di pinggir Kuala Lumpur, bersempadan dengan daerah Gombak, telah dilibatkan dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 atau juga disebut Draf KL 2020.

Tujuh buah kampung tersebut ialah Bandar Dalam, Padang Balang, Puah, Puah Seberang, Chubadak, Sungai Merali dan Sungai Mulia - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive