03 November 2010

Nouvella Beauty milik Sosilawati disaman

Dua individu saman Syarikat kosmetik milik Sosilawati

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Dua ahli perniagaan memfailkan saman terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya atas dakwaan melanggar perjanjian jual beli sebidang tanah yang mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada 5 Ogos lepas itu, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan Nouvelle Beauty sebagai defendan.

Media memperoleh writ saman itu melalui carian fail di mahkamah hari ini.

Saman itu difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47, ditemui mati bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lalu.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof.

Peguam S.H.Tang yang mewakili dua ahli perniagaan itu hadir ketika kes itu disebut. Bagaimanapun tiada peguam yang hadir bagi mewakili Nouvelle Beauty.

Mahkamah menetapkan 1 Dis ini bagi mendengar permohonan Low dan Lim untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty kerana Nouvelle Beauty gagal memfailkan balasan selepas 14 hari saman dikemukakan kepada mereka.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof.

Dalam writ samannya, Low dan Lim mendakwa mengikut surat tawaran yang dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak atau wakil Nouvelle Beauty, pada 2 April lepas, defendan telah bersetuju untuk menjual sebidang tanah seluas 144.9 meter persegi bersama dengan kedai pejabat empat tingkat yang dibina di tanah itu, milik Nouvelle Beauty, kepada mereka pada harga RM3 juta.

Low dan Lim berkata mereka telah membayar wang kesungguhan sebanyak RM60,000 semasa surat tawaran jual beli hartanah itu ditandatangani dan baki deposit sebanyak RM240,000 akan dibayar semasa Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Baki sebanyak RM2,700,000 pula akan dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani, kata mereka.

Mereka mendakwa terma dan syarat-syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli telah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April, 2010.

Mereka berkata selepas sebulan surat tawaran jual beli hartanah itu ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguamcaranya bertarikh 30 April, 2010, memaklumkan mereka tidak berniat untuk meneruskan transaksi jual beli hartanah itu kerana mereka dikehendaki menunggu selama enam hingga 12 bulan untuk mendapatkan kebenaran pindah milik kepada bukan bumiputera serta bagi menyempurnakan seluruh transaksi jual beli untuk memperoleh harga belian sebanyak RM3 juta tersebut.

Low dan Lim mendakwa mereka, melalui satu surat bertarikh 3 Mei, menegaskan Nouvelle Beauty terikat kepada terma-terma di dalam Perjanjian Jual Beli hartanah memandangkan kedua-dua pihak bersetuju terhadap terma-terma penjanjian tersebut.

Mereka mendakwa Nouvelle Beauty pada 25 Mei, 2010, telah memulangkan surat Perjanjian Jual Beli, suratcara pindahmilik, borang permohonan untuk kebenaran pindah milik beserta cek plaintif berjumlah RM240,000 kepada mereka.

Mereka berkata Nouvelle Beauty bagaimanapun gagal membayar wang sebanyak RM60,000 yang dibayar mereka sebagai wang kesungguhan.

Mereka memohon satu perisytiharan bahawa terdapat satu perjanjian yang sah di antara plaintif dan defendan di mana plaintif telah bersetuju untuk membeli dan defendan bersetuju untuk menjual tanah itu berasaskan kepada terma-terma dan syarat-syarat Perjanjian Jual Beli.

Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah tersebut kepada orang lain selain daripada plaintif.

Mereka juga menuntut gantirugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive