24 December 2010

Penang Port milik Syed Mokhtar -

Feri yang aku selaku naik dulu dengan tambang hanya 4 kupang ... lepas ni tak tau lah pula berapa Syed Mokhtar nak kenakan?


MS ; Maknanya Kerajaan P. Pinang melepas lah yer, kerana kalau tak silap aku, Guan Eng juga ada kemukan permohonan untuk kuasai Penang Port dari kerajaan persekutuan. Walau pun aku rasa perminataan Guan Eng agak susah sikit nak dilayan, kerana dasarnya sebagai kerajaan pembangkang, tapi aku tak nak cakap apa-apa lagi lah masu tu. Dan masa tu juga aku dah agak yang Penang Port akan ke tangan Syed Mokhtar berdasarkan latarbelakang beliau yang sebelum ini dah pun miliki PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) dan Johor Port ... so hari ni terbukti lah hanya kroni-kroni yang diutamakan ...


Aku masih ingat, masa zaman kecik-kecik dulu aku selalu ke 'Tanjung', tambang feri masa tu hanya 4 kupang (40 sen). Zaman orang ke Mekah masih menggunakan kapal laut. ... Tapi lepas ni aku tak tau lah pulak berapa harga tambang feri Syed Mokhtar nak kenakan ... yang pasti tambang akan naik lah - sapa yang kena? Rakyat lah .... alasan senang saja ... taraf perkhidmatan feri diperbaiki, dipertingkatkan.
Ni pula cerita pasai Johor Port, Pasir Gudang. Aku masuk sana sebab ada miting depo syarikat aku. Tak pernah masuk sebelum ini. Bila nak masuk mesti lah kena ada pas pelawat .... yang menghairankan aku, nak ambik pas pelawat pun kena bayar RM1? ... Memang lah apa ada hal dengan RM1 tu, lagi pun RM1 aku tu akan dibayar balik oleh syarikat ... tapi cara depa 'menyamun' tak nampak, sebab kecik nilainya, orang tak kisah pun ... tapi bagi aku memang tak masuk akal caj tu ...


Tapi sebagai rakyat/pengguna apa yang kita boleh buat? Kita terpaksa menerimanya ... Ini lah dasar pengswastaan ... Untuk memperkayakan kroni ... hah ambik engkau .... hahahaha

Syed Mokhtar luaskan rangkaian, kuasai Pelabuhan Pulau Pinang
Oleh Jahabar Sadiq
December 24, 2010

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Tokoh perniagaan berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang rapat dengan pentadbiran Najib berjaya dalam “rebutan” memiliki Penang Port Sdn Bhd (PPSB), sekali gus menjadikan pelabuhan utara itu menjadi entiti baru dalam operasi logistik maritimnya.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet telah meluluskan penjualan PPSB pada mesyuarat mingguannya minggu ini meskipun menerima bidaan berdaya saing daripada ahli-ahli perniagaan utama yang lain dan juga kerajaan Pulau Pinang sendiri, pemilik tanah pelabuhan itu.

“Kabinet telah memutuskan keputusan yang memihak Syed Mokhtar,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Syarikat Syed Mokhtar akan membeli pengendali pelabuhan dan juga perkhidmatan feri antara George Town dan Butterworth.

Bagaimanapun tidak pasti harga yang kerajaan pusat bersetuju tetapi sumber memberitahu bahawa ia akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Tokoh perniagaan berpengaruh ini sudah pun memiliki Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor menerusi MMC Corp Bhd, di mana kerjasama dengan Gamuda Bhd juga dinamakan sebagai Project Delivery Partner bagi pembangunan MRT RM36 bilion di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, The Malaysian Insider melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang juga menunjukkan minat mahu mengambil alih PPSB daripada Putrajaya, yang dilaporkan menerima beberapa tawaran menguasai pelabuhan utara Semenanjung ini yang mempamerkan keuntungan sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan bidaan kepada pemilik PPSB — Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Selain Syed Mokhtar, turut menunjukkan minat ialah Datuk Siew Ka Wai, yang juga rapat dengan pentadbiran Najib.

PPSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM77.74 juta pada tahun lalu, meningkat daripada RM22.70 juta yang dicapai pada 2008 meskipun pulangan merosot kepada RM268.54 juta berbanding RM277.04 juta pada 2008.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim pula merupakan pesaing kepada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN), yang baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi badan kawal selia pelabuhan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

PPC mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan itu yang diswastakan pada 1 Januari 1994 iaitu ketika Pulau Pinang ditadbir oleh BN.

Kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri berubah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu bahawa Syed Mokhtar menjadi pilihan kerana syarikatnya sudah pun menguruskan beberapa pelabuhan dan lapangan terbang meskipun Siew berminat untuk membeli PPSB menerusi Ancom Logistics Bhd, yang pengerusinya ialah Datuk Abdul Latif Abdullah, yang pernah menjadi pengerusi PPSB.

Sumber-sumber kerajaan negeri sebelum ini pernah memberitahu bahawa Lim mampu membawa sejumlah ahli perniagaan dan pakar untuk menguruskan PPSB yang kini memerlukan dana bagi mendalamkan saluran pelabuhan itu dan memodenkan dermaga.

Rakan-rakan Lim dari DAP memberitahu Parlimen pada 24 November lalu bahawa Putrajaya seharusnya tampil menjelaskan sama ada Syed Mokhtar telah membeli pengurusan PPSB, yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno, antaranya Pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pengarah urusannya Datuk Ahmad Ibnuhajar.

Konglomerat Syed Mokhtar diberikan lesen penyedia rangkaian 4G baru-baru ini manakala satu lagi subsidiarinya berminat untuk mendapatkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua mengemukakan persoalan di Dewan Rakyat bulan lalu berhubung pengambilalihan PPSB oleh Syed Mokhtar dan menuntut penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan mengenai proses penswastaan.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara ini menekankan bahawa operasi pelabuhan itu diselubungi salah guna dan penyelewengan sebagaimana disebutkan oleh Laporan Audit Negara 2009 dan akan disiasat oleh oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara dalam dua minggu ini.

Dengan merujuk kepada laporan spekulatif Business Times Singapura Oktober lalu, Pua berkata, jika pengambilalihan menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu lagi tindakan bertentangan dengan banyak janji kerajaan yang mahu bertindak telus dan penuh akauntabiliti, yang dijanjikan oleh Model Baru Ekonomi (MBE) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pua juga menggambarkan langkah itu sebagai satu lagi proses penswastaan “ala-Dr Mahathir” dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka bagi pembida terbaik membangunkan pelabuhan tersebut. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive