15 December 2010

WikiLeaks : DSAI cabar Najib

Oleh Asrul Hadi Abdullah SaniDecember 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam dakwaan pemimpin Singapura bahawa mereka ada maklumat tentang keterlibatan beliau dalam kes liwat dan pada masa yang sama, menggesa perdana menteri menyangkal pendedahan WikiLeaks yang mengaitkannya dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh empat tahun lalu.

Ketua Pembangkang ini mencabar Datuk Seri Najib Razak melawan dakwaan itu sebagaimana dilakukan oleh beliau tanpa hanya mengetepikan pendedahan tersebut atas alasan ia perkara kecil.

Kelmarin, Najib meminta rakyat Malaysia tidak ambil kisah pendedahan WikiLeaks tetapi semalam Malaysia menghantar nota protes kepada Singapura berhubung pendedahan maklumat laman web itu, yang sebahagiannya memetik pegawai-pegawai republik tersebut yang didakwa memperlekehkan kepimpinan negara ini termasuk Najib sendiri.

“Saya akan mempertahankan diri saya dan integriti saya. Saya mahu tanya Najib, adakah anda boleh mencabar Singapura agar membuktikan dakwaan itu. Itu sebabnya media Umno tidak berani melaporkan perkara itu.

“Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil,” kata Anwar di hadapan 500 hadirin di kawasan pinggi bandar Selangor dekat sini malam tadi.

Dalam ceramahnya Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, beliau beberapa kali mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang turut didedahkan oleh kabel-kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang dibawa oleh WikiLeaks.

Najib telah berkali-kali menafikan dakwaan yang mengaitkan wanita itu dengan beliau.

Ceramah di Taman Melati malam tadi merupakan yang pertama selepas pendedahan WikiLeaks yang menyebut Anwar telah diperangkap tetapi beliau telah memasuki perangkap yang dipasang musuh-musuh politiknya.

Anwar dijadual mengadakan ceramah di Melaka, Negeri Sembilan selepas ini sebelum mengakhiri hujung minggu ini di Pulau Pinang sempena konvensyen Pakatan Rakyat.

Penasihat PKR ini dijangka akan menggunakan siri ceramah sepenuhnya untuk mendapatkan semula sokongan dan keyakinan rakyat selepas pendedahan WikiLeaks dan juga ekoran kesan ketika pemilihan parti yang berakhir bulan lalu.

“Apa itu WikiLeaks? Anda ada bukti? OK, saya akan menjawab dan saya telah meminta peguam saya menjawab. Adakah anda ada bukti? Adakah anda ada bukti teknikal?

“Jika Lee Kuan Yew mahu pergi ke mahkamah, sila teruskan dan bawa dia ke mahkamah. Biar beliau jadi saksi, saya tiada masalah. Bukan masalah saya sama ada anda percaya atau tidak,” kata Anwar lagi yang merujuk kepada laporan akhbar Australia.

Ahad lalu, Anwar menerusi Twitter telah pun mengetepikan pendedahan WikiLeaks bahawa perisikan Australia percaya beliau terlibat dalam kes liwat keduanya, dengan mengatakan sumbernya sudah pasti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive