07 January 2011

Kes Teoh Beng Hock : Suruhanjaya Diraja dibentuk

PUTRAJAYA, 7 Jan — Kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor, yang ditemui mati semasa berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli suruhanjaya yang terdiri daripada orang terbilang dan dihormati.

Kelmarin, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh, yang merupakan setiausaha politik Ean Yong Hian Wah, bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Teoh, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam.

Inkues itu diadakan kerana kematian Teoh menimbulkan banyak persoalan khasnya apabila dia mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor.

Perdana Menteri berkata pembentukan suruhanjaya itu akan melihat pada aspek prosedur siasatan SPRM dan ia diberikan tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian.

Kata Najib, suruhanjaya itu akan mempunyai terma-terma rujukan khusus dan skopnya tidak akan dikembangkan untuk melihat punca yang membawa kepada kematian Teoh.

Pelantikan anggota suruhanjaya dijangka akan dibuat selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan, kata Najib pada sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu kata Najib, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ada memaklumkan bahawa beliau juga tidak berpuas hati dengan keputusan inkues yang diumumkan kelmarin.

Oleh itu, Peguam Negara akan memfailkan permohonan semakan semula keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive