06 January 2011

Pertemuan saya dengan Nik Aziz tak pelik - Saifuddin

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan pertemuan beliau dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam ada menyentuh soal perbincangan pemimpin tertinggi PAS dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya di sini bulan lalu.

Sebaliknya, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pertemuan dengan Mursyidul Am PAS di Kota Baru, Kelantan itu hanya perbincangan antara seorang wakil rakyat dan Menteri Besar.

“Saya memang selalu jumpa Menteri Besar, bukan sesuatu yang pelik kalau Ahli Parlimen Kelantan jumpa Menteri Besar.

“Ia adalah perjumpaan biasa sahaja, kita bincang banyak perkara.

“Kita bincang hal kawasan, projek pembangunan, politik Kelantan dan politik nasional. Kita bincang perkara biasa sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Saifuddin, sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk menemui Nik Aziz sebagai Ahli Parlimen dari Kelantan.

“Sudah jadi tabiat kita jumpa dan bincang, juga ia tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen.

“Tak cakap hal-hal lain, apa yang Menteri Besar cakap itulah maksudnya,” katanya.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Saifuddin akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai ‘perundingan perpaduan’ itu, yang pertama kali diadakan sejurus selepas tsunami politik Mac 2008 ketika kepimpinan kerajaan pusat berada di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kenyataan kelmarin, Nik Aziz enggan mengumumkan butiran perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut dengan berkata, beliau menghadiri pertemuan di Istana Terengganu di sini atas undangan Abdullah.

Nik Aziz berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu yang turut dihadiri Najib dan timbalannya tiada kaitan dengan isu politik.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hadir. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive