19 January 2011

Politik yang berani dan yang syiok sendiri

Ooi Heng Jan 19, 2011 11:32:48 am

Politik itu satu eksperimen. Parti yang berazam melakukan perubahan dan pembaharuan haruslah berani untuk menjalankan eksperimen. Idealisme pembaharuan tidak akan terlaksana tanpa keberanian untuk menjalankan eksperimen. Namun eksperimen politik tidak sama dengan ekperimen makmal yang dapat menetapkan faktor-faktor tertentu sebagai "independent variables" dan "dependent variables" untuk satu jangka masa tertentu.

Eksperimen politik tidak wujud dalam kekosongan. Konteks masyarakat, nilai, dan sistem merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi keberkesanaan sesuatu eksperimen politik. Tanpa mempedulikan konteks berkenaan, kebarangkalian sesuatu eksperimen politik menemui kegagalan adalah tinggi. Apabila kebarangkalian kegagalan terlalu tinggi, kita katakan idealisme di sebalik ekperimen itu bersifat utopia.

Meskipun begitu, eksperimen politik adalah perlu terutamanya untuk negara kecil bergelar Malaysia yang mempunyai peratusan populasi belia yang cukup tinggi. Menurut Kementerian Belia dan Sukan, golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Fakta rasmi kementerian pada tahun 2010 menunjukkan bahawa golongan belia dianggarkan seramai 11.9 juta orang atau 41.5% daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah seramai 28 juta orang.

Menurut suatu kajian perbandingan yang dijalankan oleh sarjana Universiti Pendidikan Sultan Idris bertapak di Tanjung Malim, Perak pada tahun 2008, jumlah warga belia di negara-negara ASEAN berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Peratusan jumlah belia kepada jumlah populasi di Malaysia adalah yang tertinggi dalam rantau ini, disusuli Filipina (37.25%), Indonesia (36%), Thailand (29%) dan Singapura (14.5%).

Pertambahan penduduk di negara-negara ASEAN berkisar sekitar 1% hingga 3% per tahun. Hal ini bermaksud peningkatan warga belia Malaysia berkisar sekitar 500 ribu hingga 1 juta orang setiap tahun. Belia melambangkan perubahan, idealisme dan harapan secara amnya. Belia juga melambangkan kejatuhan rejim pemerintah lama secara khususnya. Dalam konteks Malaysia hari ini, belia secara spesifik melambangkan keberanian dalam menjalankan eksperimen politik, yakni politik baru yang bermula dengan gerakan reformasi.

Kita telah menyaksikan perubahan rejim pemerintah di rantau ini termasuk Indonesia, Taiwan dan Jepun. Kini Tunisia pula mengalami perubahan politik yang diingini rakyat Tunisia. Lazimnya, yang menolak hujah-hujah kemungkinan perubahan bukanlah rakyat tetapi rejim yang memerintah berdekad-dekad lama dan mengaut kekayaan negara atas nama bangsa dan negara. - seterusnya

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive