01 January 2011

Pontianak bertopengkan politikus

Oleh K Pragalath

KOMENTAR

Sejak Mac 2008 hingga sekarang, politikus terpampang di muka depan akhbar kerana sebab-sebab yang kurang manis.

Rasuah, skandal seks, penyelewengan wang dan kontrak dan bermacam-macam lagi. Ia membuatkan saya tertanya apakah kita rakyat biasa tiada pilihan.

Sebelum 2008, segala perkara jelak ini dipelopori anggota Barisan Nasional (BN), umpamanya kes istana Zakaria Md Deros di Klang.


Barisan pembangkang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim, PKR dan rakan-rakan kelihatan suci bagai gerimis pagi. Idealisme reformasi dan keadilan yang ditonjolkan serasi dengan sentimen rakyat kebanyakan. Namun setelah lebih dua tahun, idealisme ini sudah jadi kenangan lampau.

Mengapa apabila mandat diperoleh, kuasa yang diamanahkan rakyat disalah gunakan sebegitu rupa oleh para politikus?

Ada apa dengan politikus sehingga mereka rakus menghisap darah rakyat bagaikan pontianak? Mungkin lebih baik kita berbicara dengan ‘Pontianak Harum’ Maya Karin berkenaan isu alam sekitar berbanding dengan pontianak politikus yang cuba mengaut keuntungan peribadi dengan alasan kemahuan rakyat.

Melalui pendedahan laman web WikiLeaks, pemimpin BN bersorak mengatakan Ketua Pembangkang sememangnya seorang peliwat namun mereka menyepi apabila laporan laman web tersebut turut menyatakan seorang menteri kabinet telah memperkosa orang gaji Indonesia. Jika laporan pertama benar maka laporan terbaru ini boleh diandaikan benar.

Kesimpulannya, pontianak bertopengkan politikus wujud di kedua-kedua belah kumpulan politik.

Terkenangkan nasib pengundi, saya teringat kata-kata pelakon Abhishek Bachchan dalam filem Hindi bertajuk Yuva: “Susah hidup dengan mereka, susah hidup tanpa mereka.” Itulah hakikat pahit rakyat negara ini. Mahu tidak mahu rakyat memerlukan politikus, kecuali jika anarkis.

Pulau undi atau rosakkan undi?

Dalam keadaan begini, apakah pilihan yang ada untuk rakyat? Pilihan itu penting kerana rakyat menentukan pemimpin melalui pilihan raya.

Kumpulan Hindraf menganjurkan agar rakyat terutamanya yang berketurunan India agar memulaukan pilihanraya.

Implikasinya menurut mereka akan menyebabkan politikus sedar kepentingan undi masyarakat India. Namun apa yang tidak disebut ialah pemulauan ini boleh menyebabkan masyarakat tersebut dipulaukan terus. Ini kerana mereka tidak menggunakan hak yang diberikan kepada mereka sebagai warganegara.

Ia turut memberi ruang kepada penularan pengundi hantu. Satu lagi pilihan untuk para pengundi ialah dengan membuang undi rosak. Membuang undi rosak akan memastikan hak sebagai pengundi kekal dan mengekang penularan pengundi hantu.

Pola pengundian tersebut akan memberi isyarat yang jelas kepada politikus agar mereka tidak menjadi pontianak.

Undi rosak turut menyumbang kepada pembentukan ahli parlimen baru. Contohnya, dalam pilihan raya umum 2008, calon PAS di Hulu Langat mengalahkan calon Umno kerana peningkatan jumlah undi rosak.

Kegiatan merosakkan undi mungkin merupakan igauan terburuk politikus tetapi ia boleh menjadi mimpi manis pengundi - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive