10 February 2011

Ops Piramid .. Mengapa pula ada sepanduk Umno di KLIA?

Ops Piramid, Rais dan keajaiban media — Ahmad Lutfi Othman

February 10, 201110 FEB — Siaran berita televisyen jam 8 malam, Jumaat lalu, dipenuhi dengan laporan pemindahan warga Malaysia dari Kaherah ke Jeddah ekoran konflik politik yang makin meruncing di Mesir. Bagi keluarga pelajar yang terlibat, tentulah mengharapkan tindakan segera dan efisyen bagi menerbangkan anak-anak mereka ke tanahair dengan selamat.

Cuma, yang kurang menyenangkan, tumpuan berita malam itu lebih kepada sanggahan pemimpin kerajaan — daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar dan timbalannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sehinggalah Setiausaha Politik Perdana Menteri — terhadap apa yang disebut tohmahan pihak tertentu yang mempolitikkan langkah evakuasi berkenaan.

Saya kira, dalam saat-saat sulit dan getir ini, semua pihak mahu segala perancangan Operasi Piramid itu berjalan lancar dan tidak tergendala. Jika ada rungutan atau kritikan, sama ada yang melihat operasi itu tidak secekap yang diharapkan atau menggesa agar ia dikendalikan secara lebih profesional, maka apakah teguran seumpama itu terlalu sukar diterima pemerintah?

Dalam pada itu, saya tidak pula mendengar atau membaca kenyataan pemimpin PAS atau KeADILan, yang “mempolitikkan” operasi pemindahan itu. (Sebenarnya apa makna “mempolitikkan” itu? Apakah hanya kerana teguran atau peringatan datang daripada pemimpin politik bukan BN, maka ia dianggap “mempolitikkan”, tetapi jika membabitkan pemerintah, biarpun nampak sarat-sendat dengan imej politik, ia dikira tiada kaitan langsung dengan usaha “mempolitikkan?)

Memang ada gesaan agar ia dipercepatkan dan ingatan di peringkat awal supaya semua pelajar, sama ada tajaan kerajaan mahupun persendirian, dilayan sama rata. Apakah nasihat seumpama itu pun sukar untuk diterima? Dan jika benar ada salahfaham yang timbul, maka perjelaskanlah secara berhikmah dan terbuka. Ia bukan isu besar yang mesti digembar-gemburkan.

Atau, apakah sebenarnya pemerintah itu sendiri yang menyimpan hasrat-tekad menjadikan Ops Piramid (juga seperti misi bantuan banjir di dalam negara) sebagai laba politiknya? Bagi saya, “biasalah tu”, asalkan kebajikan dan keselamatan warga kita tidak dipertaruhkan. Rakyat sudah matang untuk menghakimi sendiri tanggungjawab dan bebanan tugas sebuah kerajaan. Ada yang bertanya, kalau tidak mahu Ops Piramid itu dipolitikkan, mengapa pula terbentang sepanduk Umno mengalu-alukan kepulangan pelajar dari Jeddah, di KLIA tempoh hari?

Pihak kerajaan hendaknya janganlah terlalu “manja” sehingga mudah berang (sehingga melafazkan “kata-kata amaran” seperti disebut Timbalan Menteri Luar melalui interbiu dari Kaherah yang disiarkan TV) apabila mendengar luahan rasa tidak puas hati rakyat, sebaliknya perlu bersikap terbuka, menerima pandangan berbeda, apatah lagi kritikan membina. Ia bukan semata-mata khusus mengenai Ops Piramid tetapi meliputi apa jua langkah membabitkan kepentingan rakyat dan negara. Rasa tidak puas hati rakyat biarlah diluahkan walaupun mungkin persepsi mereka agak tersasar.

Usah melihat pandangan kedua yang tidak selari dengan pendirian rasmi pemerintah, terutama apabila datang dari parti-parti pembangkang, daripada kacamata negatif semata-mata. Lebih buruk lagi apabila kritikan itu sering dianggap “bermotif politik” dan dinilai daripada persepsi persaingan kuasa dengan oposisi. Sepatutnya, bukan sahaja pandangan konstruktif yang harus dihargai, malah kecaman dan cemuhan pun perlu diambil kira.

Jangan dihakimi daripada sudut “bersopan atau tidaknya” cadangan itu dikemukakan, tetapi hendaklah berdasarkan kebenaran di dalamnya, walaupun hanya terselit secebis!

Bukankah seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak sendiri, bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudahpun berlalu? Penyertaan rakyat bukan hanya terhad kepada turun mengundi pada hari pilihan raya, lima tahun sekali dan kemudiannya memberikan “cek kosong” kepada pemerintah! Ia adalah proses tanpa henti. Semakan ke atas langkah kerajaan harus berterusan.

Lagi pun, bukankah baik pihak kerajaan sentiasa terdedah dengan respons langsung rakyat. Mana-mana yang kurang sempurna boleh diperbaiki segera, dan tidaklah “terkejut beruk” nanti apabila rakyat memendam rasa dan hanya memberikan tindak balas dalam peti undi!

Menteri paling lama berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri, yang kini menerajui portfolio mencakupi pelbagai bidang, di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim semakin kerap menonjolkan dirinya sebagai pembela Najib dan pencemuh Pakatan Rakyat. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak terlepas daripada sindiran dan sasarannya walaupun dia sendiri pernah “membakar jambatan” semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas kebangkitan rakyat di Timur Tengah, Rais yang pernah mengetuai Wisma Putra, menegaskan: “Apa yang berlaku di Mesir ketika ini langsung tidak berkaitan dengan nilai perjuangan rakyat di Malaysia.”

“Tidak ada seorang pun (Perdana Menteri di Malaysia) perintah sampai 30 tahun atau 25 tahun tanpa proses demokrasi,” tambahnya. “Tapi yang saya lihat di sana, Hosni Mubarak adalah orang yang menggunakan sistem itu untuk menafikan hak-hak rakyatnya tetapi di sini kita bebas. Kebebasan kita telah dikecapi oleh pembangkang. Jadi barang siapa yang mengatakan bahawa kononnya bahang Mesir akan berlaku di Malaysia, ia adalah buta dan tuli.”

Selain mempertahankan pemerintahan demokratik di Malaysia yang dikatakan menjamin kebebasan bersuara rakyatnya berbanding Mesir yang bersifat kuku besi, Rais turut mengkritik sistem pendidikan di sana. Beliau mahu pelajar Malaysia melihat kembali keilmuan yang diperoleh daripada universiti di negara berkenaan kerana “kebanyakan ideologi yang diajar adalah untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme”.

Memang tidak dinafikan revolusi rakyat yang bermula di Tunisia dan kini dalam “pembikinan” di Mesir, menakutkan semua pemerintahan autoritarian, yang membelakangkan suara dan kehendak rakyat. Walaupun realiti Malaysia tidaklah seburuk amalan kongkongan dan penindasan di Timur Tengah, namun sarjana politik antarabangsa tetap menamakan jenis demokrasi di Malaysia sebagai “Quasi-Democracy” atau “Pseudo-Democracy” iaitu “Separa Demokrasi” atau “Demokrasi Palsu”.

Pelbagai peraturan dan akta mengikat kebebasan rakyat, sehingga segalanya memerlukan permit atau kebenaran pemerintah, dengan syarat yang begitu ketat. Daripada kebebasan untuk berhimpun, berucap, berpersatuan, menerbitkan akhbar dan lain-lain aktiviti normal. Pelajar dan pensyarah di menara gading turut dikongkong, termasuk menghalang mereka membuat kenyataan kepada media walaupun menyentuh bidang pengajian masing-masing.

Saya tidak berhasrat untuk menyangkal pandangan dangkal Rais itu. Rakyat negara ini, khususnya selepas era “politik baru” tentu dapat menilai sejauhmana ruang demokrasi dan penyertaan rakyat secara matang dalam iklim politik di Malaysia. Apa pun, merujuk situasi yang berkembang mekar di Timur Tengah itu, proses pendemokrasian, seperti analisis sarjana terkemuka, Samuel P. Huntington, dalam bukunya, The Third Wave: Democracy in the Late Twentieth Century, boleh merebak dan membentuk suatu trend global di kalangan masyarakat antarabangsa.

(Huntington membahagikan gelombang pendemokrasian kepada beberapa fasa. Gelombang pertama (1828-1926), bermula kesan revolusi Perancis sehingga kemenangan Sekutu Barat dalam Perang Dunia Pertama dan runtuhnya sejumlah empayar akibat perang tersebut. Ia diikuti oleh gelombang balik pertama (1922-1942), apabila pemerintahan demokrasi kembali kepada bentuk autoritarian, misalnya di Rom selepas Mussolini memerintah Itali (1922) dan Hitler berkuasa di Jerman (1933). Gelombang kedua pendemokrasian (1943-1962), yang menyaksikan sistem demokrasi dipraktikkan secara paksa di negara-negara yang kalah perang seperti Jerman Barat, Itali dan Jepun, manakala Turki, Brazil, Argentina, Peru, Ekuador, Venezuela dan Colombia menuju ke arah demokrasi kesan kemenangan Sekutu Barat.)

(Malangnya gelombang balik kedua berlaku pada 1958-1975. Perubahan paling ketara terjadi di Amerika Latin. Pergeseran dimulakan di Peru pada tahun 1962 ketika pihak militer campur tangan untuk mengubah keputusan sebuah pemilihan umum. Kemudian, tahun 1964 menyaksikan kudeta menjatuhkan pemerintah sivil di Brazil dan Bolivia. Argentina melakukan hal yang sama pada tahun 1966 dan diikuti Ekuador pada tahun 1972. Di Asia, pihak militer Pakistan telah memaksakan satu regim berdasarkan hukum darurat perang tahun 1958. Di Indonesia, pada 1957, Sukarno menggantikan demokrasi parlimen kepada demokrasi terpimpin dan pada tahun 1965, tentera Indonesia mengakhiri demokrasi terpimpin dan mengambil alih kekuasaan negara. Selain itu, 33 negara Afrika yang telah mencapai kemerdekaan (1956-1970) telah menjadi negara autoritarian sewaktu merdeka atau tidak lama selepas itu.)

(Gelombang pendemokrasian dan gelombang balik merupakan manifestasi dari suatu fenomena politik yang lebih umum yang mana dalam sejarah, peristiwa-peristiwa yang serupa kadang-kadang berlaku secara serentak kepada negara-negara atau sistem-sistem politik yang berbeza. Bagi menjelaskan gelombang pendemokrasian ketiga, Huntington telah membahaskan perkembangan politik global pada akhir abad ke-20 iaitu transisi yang dialami sekitar 30 negeri dari sistem politik non-democratik kepada sistem politik demokratik. Selain faktor-faktor yang sama berlaku di negara berbeda, perkembangan teknologi maklumat, institusi agama (termasuk gereja) dan krisis atau kemajuan ekonomi juga membantu proses pendemokrasian di peringkat global. Ia saling berjangkit.)

Di samping mengharapkan Rais dapat menasihati Najib tentang keperluan segera mengadakan pembaharuan atau reformasi dalam sistem politik, sosial dan ekonomi kita (juga mengingatkan Perdana Menteri tentang nasib Wanita Pertama di Tunisia, Mesir, dan lama sebelumnya di Iran,) agar wabak dari Asia Barat itu tidak berjangkit ke Malaysia, tuduhannya bahawa pelajar Malaysia di Mesir “diajar untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme” adalah cukup serius dan berbahaya.

Ia mengingatkan saya tentang label pelampau, ekstrim dan militan, yang begitu lama ditujukan kepada Ikhwanul Muslimin, pertubuhan paling tersusun, berdisiplin dan berakhlak di Mesir. Tuduhan bermotif jahat itu, sejak 1940-an lagi, menyebabkan pemimpinnya yang berkaliber dan ikhlas berjuang telah ditahan, disiksa, dibuang negeri dan ramai yang dibunuh di tali gantung.

Ikhwan juga sering dikhianati. Walaupun bersama-sama Kolonel Jamal Abdul Nasser menjatuhkan regim monarki Raja Farouk dalam Revolusi Julai 1952, tetapi tidak sampai dua tahun selepas itu, pada 13 Januari 1954, Ikhwan diharamkan, manakala para pemimpinnya ditangkap bersama ribuan anggotanya. Tuduhannya — yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah — Ikhwan merancang menggulingkan kerajaan. Sepuluh tahun kemudian, Ikhwan juga dituduh merancang rampasan kuasa, di samping dakwaan mahu menghapuskan para intelek dan golongan seniman-seniwati Mesir, termasuk penyanyi.

Rupanya ramai yang terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas itu, termasuk mereka yang berpengajian agama di negara ini. Saya pernah mendengar seorang ustaz yang lama menetap di Makkah menyifatkan Ikhwan sebagai pertubuhan pengganas yang menyusahkan rakyat Mesir! Sejarah Ikhwan memang cukup perit dan menyedihkan. Sebuah gerakan Islam yang paling hebat menyuntik inspirasi kebangkitan buat umat sejagat di zaman moden ini tidak pernah sunyi daripada rantaian tribulasi yang cukup menakutkan. Diharapkan bekas pelajar Mesir dapat menyanggah tuduhan Rais itu.

Saya kira kini begitu ramai mendoakan agar Ikhwan berjaya merentasi ujian getir bersama rakyat Mesir menumbangkan regim Hosni, bagi membentuk pemerintahan baru yang lebih demokratik, telus, bertanggungjawab, antirasuah dan menjaga kepentingan rakyat. Kesediaan pemimpinnya untuk saling bahu-membahu dengan siapa jua terbabit dalam kebangkitan rakyat itu, khususnya bersama Dr Mohamed El-Baradei, melambangkan keikhlasan Ikhwan untuk tidak mengambil kesempatan di waktu genting ini. Ikhwan tetap bertegas dengan konsensus awal yang tidak pernah berubah, iaitu Hosni mesti berundur.

Mereka langsung tidak berhasrat untuk merebut jawatan Presiden Mesir. Aktivis Ikhwan turut terbabit dalam kerja-kerja kebajikan membantu mangsa kezaliman Hosni dan Parti Nasional Demokratik. Mungkin pengalaman dan kejayaan rakan-rakan gerakan Islam di Turki, berdepan real politik yang cukup mencabar, di bawah Recep Tayyip Erdogan boleh menjadi teladan dan panduan, termasuk dalam krisis di Mesir.

Cuba anda bayangkan gerakan reformasi 1998, yang disusuli perubahan besar terhadap lanskap politik tanahair terutama pada 2008, sekiranya tidak disokong kuasa siber atau media baru. Andaikan tiada laman-laman web dalam internet yang memperincikan tragedi pemecatan Anwar Ibrahim. Lebih penting lagi, tiada hebahan demonstrasi atau perhimpunan yang dapat disalurkan dengan cepat dan mudah melalui dunia maya tanpa batas itu.

Memang sukar untuk kita mengaitkan kejayaan pergerakan reformasi atau idea politik baru tanpa sokongan ledakan ICT. Namun, tidaklah semudah itu untuk kita menetapkan bahawa faktor kemudahan internet dan dasar langit terbuka sebagai satu-satunya penyebab kebangkitan rakyat menuntut hak. Gerakan reformasi memang telah merangsang pertumbuhan penggunaan internet pada akhir 1990a-an; kebetulan pelancaran Koridor Raya Multimedia (MS) dilancarkan Dr Mahathir Mohamad setahun sebelum itu.

Justeru, saya agak pelik mendengar ura-ura kerajaan akan mengenakan sekatan terhadap apa juga dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook, Twitter dan perisian. Walaupun faktor media baru itu, termasuk kemudahan telefon bimbit, emel dan sebagainya menjadi pemangkin revolusi rakyat di Tunisia dan Mesir, namun jika suasana sosio-politik kita diakui jauh berbeza, seperti dakwaan Rais, apa yang perlu dibimbangkan dengan kemajuan teknologi maklumat itu, kan?

Rumusan pensyarah media USM, Mustafa K. Anuar mengungkapkan kaitan media baru dan pergolakan di Mesir menarik untuk diperhatikan: “Sesungguhnya rakyat jelata Mesir selama lebih kurang tiga dekad yang lalu tidak mempunyai peluang dan ruang (kalau adapun, kurang) untuk melafazkan secara terbuka perasaan tidak puas hati, kegelisahan, kekecewaan, kemarahan, keinginan dan impian mereka melalui media massa arus perdana yang ada di negara itu. Seperti di kebanyakan negara yang mengalami kebebasan media yang tersekat, internet dilihat atau diangkat sebagai satu ‘cahaya’ yang boleh menerangi bumi Mesir pada tahap dan keadaan sosial tertentu.

“Ini bukanlah untuk mencadangkan bahawa tercetusnya satu gelombang ‘reformasi’ di Mesir adalah disebabkan rangkaian internet dan aktiviti blog, Facebook dan Twitter semata-mata. Keadaan sosio-ekonomi dan politik di Mesir dan ruang komunikasi yang ‘dibuka’ oleh internet saling ‘mencuit’ hati dan memperkasakan rakyat Mesir untuk memberontak dan meluahkan perasaan pemberontakan ini.

“Dengan kata lain, kemiskinan, pengangguran, harga barang keperluan yang melambung tinggi, rasuah, dan juga ketiadaan (atau kekurangan) akauntabiliti dan ketelusan serta penyalahgunaan kuasa bagi diri pihak pemerintah, antara lain, merupakan beberapa faktor utama yang menggerakkan hati rakyat untuk bangkit menuntut keadilan dan kesaksamaan. Dan dalam konteks ini media baru dan media sosial saling membantu meningkatkan kesedaran politik rakyat.”

Khususnya buat aktivis media baru di negara ini, termasuk pemimpin Pakatan yang dilaporkan semakin berjinak-jinak dengan komuniti dunia siber, masih banyak yang perlu dilakukan bagi menggerakkan kebangkitan rakyat untuk membawa perubahan dalam PRU13 nanti. Pengisian harus lebih sofistikated dan kemaskini. Media secara umumnya lebih kepada fungsi melaporkan dan membuat analisis, selain membongkar apa yang disembunyikan media tradisi yang dikontrol elit penguasa.

Lama sebelum ini saya mengingatkan, tiada apa-apa kuasa sakti atau “mukjizat” yang ada pada media, termasuk media baru, sekiranya aktivis politik hanya sekadar mengharapkan dan menanti...— Harakah Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive