02 February 2011

Pakatan tak putus asa kerana Tenang, mahu tumpu PRU13 - DSAI


Oleh Yow Hong Chieh

PETALING JAYA, 2 Feb — Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat kekal setia dalam perjuangan menghadapi Barisan Nasional (BN) meskipun melalui empat kekalahan dalam lima pilihan raya kecil sejak setahun lalu.

Dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang Ahad lalu, yang ke-14 sejak Mac 2008, BN mempertahankan kubu kuatnya itu dengan majoriti 3,707 undi — dengan lebih majoriti berbanding 2004 tetapi gagal capai majoriti 5,000 yang disasarkannya.

BN dan Pakatan Rakyat kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil susulan membabitkan kerusi DUN Merlimau di Melaka 6 Mac ini — dua hari sebelum genapnya tiga tahun selepas pilihan raya umum 2008.

Awal tahun lalu BN merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada penguasaan PKR-Pakatan tetapi DAP-Pakatan merampas kerusi Parlimen Sibu, Sarawak sebulan kemudian Mei 2010.

Pada pilihan raya serentak awal November lalu, PAS kehilangan kerusi DUN Galas dan BN mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ahad lalu BN mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang, Johor.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, masa dan usaha diperlukan untuk merangsang rakyat Malaysia dalam tindakan politik sambil merujuk kepada protes popular di dunai Arab yang hanya berlaku selepas pemerintahan autoritarian berdekad lamanya.

“Berapa ratus, ribu terbunuh di Mesir. Bukan hanya tahun ini, tetapi sejak beberapa dekad lalu, digantung, ditembak, hilang,” kata beliau pada majlis pertama Jelajah Pemimpin 2011 di Taman Sri Manja malam tadi.

“Dan hanya sekarang ia (protes rakyat) berlaku. Jangan anggap ia satu jalan yang mudah,” kata Anwar dengan merujuk kepada protes di Mesir yang berlarutan sejak 25 Januari lalu.

Sebelum Mesir protes rakyat membawa kepada pergolakan politik di Tunisia dan ia dikatakan sudah mula merebak ke beberapa negara lain di dunia Arab.

Sehubungan itu beliau meminta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tidak putus asas ekoran kekalahan calon PAS Normala Sudirman di tangan Mohd Azahar Ibrahim dari BN, sebaliknya melihat pada kejayaan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tewas di Ijok tetapi menang Mac 2008.

Khalid, yang kini merupakan Menteri Besar Selangor, berjaya merampas kerusi itu daripada MIC-BN pada 8 Mac 2008 tidak kurang setahun selepas kalah teruk dalam pilihan raya kecil awal 2007.

“Ya, kita kalah di Tenang. Kami terima dengan sabar,” kata ketua pembangkang ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jentera Pakatan Rakyat perlu diperkuatkan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan pembangkang boleh menggerakkan perjuangan menentang “kepimpinan rasuah” BN.

Beliau menambah, parti komponen Pakatan Rakyat akan berganding untuk meletakkan barisan calon yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Di DUN Tenang, Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala memperoleh 2,992 undi yang memberikan majoriti 3,707 kepada calon BN - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive