09 February 2011

PRK Merlimau : DSAI korbankan Shamsul Iskandar


Oleh: ROSLAN BIAN

PKR dan DAP sudah putuskan setuju PAS bertanding dalam PRK DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

Sekaligus keputusan ini tentu amat mengecewakan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin yang mungkin sudah bermimpi siang malam untuk bertanding dalam pilihanraya kecil ke 15 itu.

Beliau nampaknya dijadikan korban oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu akur bahawa PAS layak bertanding di kawasan tersebut mengikut peruntukan kerusi PRU sebelum ini.

Shamsul Iskandar kena akur kerana anwar sudah memberi kemenangannya pada pemilihan pimpinan PKR akhir tahun lalu.

Lagipun, bukan sesuatu yang pelik Anwar mengorbankan orang lain asalkan matlamatnya tercapai.

Ketua Umum PKR itu juga tidak ada pilihan lain kecuali mengalah kerana perlukan sokongan PAS sebagai talian hayat perjalanannya ke Putrajaya.

Lagipun, jentera pilihanraya PAS yang lebih hebat berbanding PKR dan DAP.

Anwar perlu menjaga hati pemimpin-pemimpin PAS kerana jika parti itu ‘merajuk’ dan keluar pakatan pembangkang, Ketua Pembangkang itu boleh ucap bye- bye Putrajaya.

Lagipun PKR semakin mengecil di Parlimen selepas ahli parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan keluar parti dan jadi wakil rakyat Bebas mengikut jejak lima rakannya.

PKR hanya tinggal 24 kerusi, PAS pula 23 manakala DAP 29 kerusi selepas menang di PRK Parlimen Sibu.

Ikut kebiasaan di Parlimen, sepatutnya pemimpin DAP jadi Ketua Pembangkang tetapi Anwar masih dapat ihsan parti itu dan PAS untuk kekal dengan jawatan berkenaan.

Berbalik PRK Merlimau, terdapat desas ada kalangan pemimpin PAS tidak setuju parti itu bertanding di kawasan tersebut.

Antara faktornya soal kewangan dan jangkaan kalah selain jika menangpun tidak akan merubah kedudukan politik negeri Melaka.

Ada juga pendapat mengatakan mereka tidak mahu kalah tiga kali berturut-turut selepas Galas dan Tenang.

Justru itu, timbul idea tidak mahu bertanding sama seperti dilakukan PAS ketika PRK Dun Talam pada 2007.

Jika idea ini kekal, PKR boleh meletakkan Shamsul Iskandar bertanding.

Cuma PAS mungkin tidak akan menurunkan sepenuhnya jentera kempen kerana kecewa dengan sikap memilih Ketua Pemuda PKR itu.

Dalam PRU ke 12, Shamsul sudah ditawarkan bertanding di Jasin tetapi memilih Parlimen Dungun.

Apapun terpulang pada PAS menentukan kerana PR sudah memberi laluan kepada parti itu di Merlimau.

Mengenai calonnya, Hadi sudah membayangkan keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat kepimpinan parti itu 13 Februari ini.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. - Agenda Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive