24 February 2011

"Sultan Sulu" memudaratkan negara - Polis

Polis Sabah setakat ini telah mengambil kenyataan daripada 18 individu berhubung "pertabalan" Mohd Akjan bin Ali Muhammad sebagai "Sultan Sulu".

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Bakri Zinin, berkata polis menyifatkan kes Datu Mohd. Akjan bin Datu Ali Muhammad sebagai kes serius dan memudaratkan keselamatan serta ketenteraman awam di negara ini, khususnya di Sabah.

Setakat ini, katanya, polis Sabah telah mengambil kenyataan daripada 18 individu berhubung majlis yang dilaporkan sebagai pertabalan peniaga tempatan, Mohd. Akjan sebagai “Sultan Sulu” di kediamannya di Likas dekat sini bulan lepas.

Beliau berkata, 18 individu terbabit adalah ahli keluarga dan saudara mara Mohd. Akjan yang dipercayai menyaksikan majlis berkenaan pada 2 Februari lalu.

“Beberapa lagi individu dalam kumpulan yang mendakwa sebagai kerabat “Sultan Sulu” akan dipanggil oleh pihak polis bagi melengkapkan siasatan terhadap kes ini,” kata Bakri, selepas mesyuarat perhubungan di antara JSJ Malaysia dan Singapura di sini kelmarin.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Mohd. Akjan yang sebelum ini mencetuskan kontrovesi berikutan mengisytiharkan dirinya sebagai “Sultan Sulu” yang ke-33, akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Umno berkuat kuasa serta merta.

Dalam kenyataan yang dihantar melalui emel, beliau telahpun memaklumkan peletakan jawatan melalui sepucuk surat yang dihantar ke ibu pejabat Umno dengan salinannya dikirim ke pejabat Umno di Sabah.

Mohd. Akjan mendakwa laporan polis dan serangan dalam media susulan berita beliau dilantik menjadi Sultan Sulu ke-33 bermotifkan politik dan bertujuan memusnahkan nama baik beliau.

Tindakan undang-undang

“Saya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan individu dan organisasi ini,” katanya.

Mohd. Akjan berkata, apa yang telah dirujuk sebagai pertabalan sebenarnya merupakan majlis kesyukuran yang diadakan selepas beliau menerima jawatan itu yang ditawarkan kepadanya oleh kerajaan sementara Sulu yang mendapati beliau adalah keturunan langsung

Sultan Sulu yang terakhir, Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Shariful Hashim 1.

Beliau berkata setelah tiga kali menolak untuk menjadi Sultan Sulu, beliau akhirnya bersetuju selepas mereka menerima beberapa syarat di mana salah satu daripadanya ialah mereka menggugurkan tuntutan terhadap Sabah.

Mohd. Akjan berkata, penerimaan itu dibuat secara bertulis dan ditandatangani pada majlis kesyukuran itu dan beliau seorang warga Malaysia yang dilahirkan di Kudat dan sangat sayangkan negaranya.

Beliau, bagaimanapun, menegaskan bahawa beliau terpaksa melepaskan taraf sebagai warganegara Malaysia sebelum majlis ‘pertabalan sebenar’ diadakan.

Pada 2 Februari lalu, Mohd. Akjan yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah dilaporkan telah ditabalkan sebagai Sultan Sulu ke-33 selepas mengangkat sumpah kesetiaan dalam satu majlis di Kampung Likas dekat sini.

Dilaporkan majlis tersebut disaksikan sekumpulan 60 orang termasuk pegawai kanan Kesultanan Sulu.

Ekoran pertabalan itu, Mohd. Akjan telah mendapat gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ali Muhammad Pulalun atau Sultan Shariful-Hashim II.

Cerita mengenai pertabalan Akjan sebagai Sultan Sulu itu telah mendapat liputan meluas oleh laman-laman web termasuk sabahkini.net.

Risau dengan sebaran berita tersebut, tiga pertubuhan politik Pemuda BN, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Progresif Sabah masing- masing telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 11 Februari lepas.

Dalam perkembangan lain, Pekida Sabah di sini kelmarin turut membuat laporan polis terhadap serangan dalam media susulan berita Mohd. Akjan yang dilantik menjadi Sultan Sulu.

Pekida yang diwakili Panglimanya, Mejal Munabih bersama empat ahli pertubuhan itu berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dekat sini kira-kira jam 3.20 petang kelmarin.

“Laporan polis ini dibuat kerana semua laporan yang dibuat pihak tertentu adalah palsu serta tidak berasas dan ianya bermotifkan politik dengan tujuan memfitnah.

“Yang sebenarnya, majlis yang diadakan pada 2 Februari lepas adalah majlis kesyukuran kerana dia ditawarkan sebagai Sultan Sulu dan bukannya ditabalkan,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar tindakan sewajarnya diambil oleh polis dan Kerajaan terhadap pihak yang membuat kenyataan tersebut. - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive