14 March 2011

Rosmah 'FLOM' - Nazri hina perlembagaan

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang mendakwa gelaran ‘First Lady’ terhadap Datin Seri Rosmah Mansor hanya kod amalan, menghina Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata Perlembagaan dalam Perkara 32 (2) menyatakan hak Wanita Pertama Malaysia adalah milik Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Dalam Perkara 32 (2) menyatakan: “Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.”

“Jika benar Wanita Pertama sebuah kod amalan, isteri Perdana Menteri tertakluk di bawah kod protokol yang ditetapkan JPM, dengan mengambil kira beliau hanya seorang pegawai kakitangan buat Perdana Menteri,” katanya.

Mengambil kira faktor kod amalan dan kod protokol, Ahli Parlimen Ampang itu berkata bagaimana peruntukan RM4.5 juta boleh diluluskan kepada seorang ‘kakitangan’ untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama.

“Bagaimana seorang ‘kakitangan’ biasa boleh diberi peruntukan melancong ke seluruh dunia? Apakah seorang ‘kakitangan’ dibenar berkempen dan membuat pelbagai janji menggunakan wang kerajaan sewaktu pilihan raya?

“Adakah wujud pula kod protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk isteri Perdana Menteri?” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Zuraida turut mendesak Nazri berani menjawab dengan jujur berdasarkan fakta dan realiti, supaya beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak.

Nazri dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul mendakwa Wanita Pertama adalah isteri kepada sesebuah ketua eksekutif sesebuah negara, iaitu isteri Perdana Menteri.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=8896

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive