09 March 2011

Tak berapa cerdik Datuk Seri ni rupanya ... kahkahkah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri bukan saja kerugian RM20,000, malah nyaris maut akibat terlalu percayakan kehebatan bomoh yang mendakwa boleh berinteraksi dengan makhluk halus, sekali gus mampu menyembuhkan penyakit batu karang kronik dialaminya.

Mahu dikenali sebagai Rosman, lelaki itu berkata, disebabkan percaya kepada bomoh terbabit dia mengambil risiko menangguhkan pembedahan membuang batu karang hanya dalam tempoh kurang 24 jam dari waktu dijadualkan.

“Saya mengikut bomoh itu ke Sabah untuk berubat cara istimewa dengan menggunakan makhluk halus. Namun, selepas membelanjakan ribuan ringgit, penyakit saya tidak sembuh.

“Malah, sekembalinya dari Sabah saya rebah ketika berada di rumah kerana penyakit yang disangka sudah baik itu berada di tahap kritikal.

“Mujur isteri cepat bertindak dengan membawa ke hospital, jika tidak mungkin ajal saya sudah sampai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Rosman berkata, keputusannya menghubungi bomoh temberang itu dibuat selepas ternampak iklan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum ke hospital untuk membuat persiapan masuk ke wad pembedahan.

Sebelum itu, dia menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Ampang dan doktor mengarahkannya menjalani pembedahan segera berikutan penyakit batu karangnya mencapai tahap kritikal.

“Sebaik dihubungi, bomoh itu meyakinkan saya rawatannya mengambil masa singkat, malah tidak perlu menanggung kesakitan kerana pembedahan dijalankan secara batin dan dilakukan makhluk halus,” katanya.

Menurut Rosman, dia bersama keluarga pergi ke Kota Kinabalu dan sejurus tiba, dia dibawa berjumpa seorang wanita berusia 90 tahun bagi memulakan sesi rawatan.

Selepas perutnya diperiksa, wanita terbabit mengeluarkan 13 batu berwarna kehitaman yang didakwa batu karang.

“Selepas batu karang dikeluarkan, wanita itu memberitahu penyakit saya sembuh sepenuhnya. Bagi menghilangkan curiga, saya membuat pemeriksaan susulan di sebuah pusat perubatan swasta dan terkejut apabila doktor memaklumkan, batu karang sudah tiada.

“Saya gembira kerana menyangka sudah sembuh, tapi sebulan kemudian saya pengsan dan hampir mati. Mujur tindakan pantas doktor mengeluarkan batu karang melalui pembedahan menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Sehubungan itu, Rosman berharap kejadian menimpanya menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak tertipu dengan rawatan bomoh, terutama yang mendakwa menggunakan makhluk halus dan mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berpura-pura menjadi pesakit menemui bomoh terbabit dan dia mengesahkan mengenakan caj RM19,000 hingga RM50,000 kepada pesakitnya.

Malah, bomoh berusia 40-an itu juga mendakwa memiliki 16 kereta mewah dan beberapa banglo di Lembah Klang serta Sabah.

Lebih melucukan apabila dia menjelaskan bayaran dikenakan munasabah kerana dia perlu menghantar makhluk halus miliknya ke Lautan Atlantik untuk mengambil air mata duyung dan mengembara ke hutan tebal bagi mencari penawar mujarab mengubati penyakit.

“Saya perlu menjaga hati makhluk halus yang berdamping dengan saya sejak kecil kerana ia mampu merawat pelbagai penyakit dalam lima saat dan segala derita pesakit selama bertahun-tahun akan sembuh.

“Pesakit boleh melihat makhluk halus ini dengan izin saya apabila ia memasuki badan saya untuk melakukan proses rawatan,” katanya yang mendakwa mampu merawat pelbagai penyakit termasuk santau, buatan orang dan batu karang.

Bomoh itu mendakwa, makhluk halus belaannya akan memantau setiap pesakit dari mula proses rawatan hingga selesai, malah pesakit akan dijaga selama mana diinginkan. - mesra

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive