17 April 2011

Pemimpin Islam digesa elak Politik Fitnah - Saf Anti Fitnah

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
April 17, 2011

mereka yang terlibat dalam fitnah bukan sebahagian daripada komuniti Islam.

KUALA LUMPUR, 17 April — Golongan ulama hari ini membuat pendirian menggesa pemimpin-pemimpin Islam mengelak daripada terlibat dalam politik fitnah atas alasan ia bertentangan dengan Islam dan boleh mengaibkan orang lain.
Anggota gerakan Saf Anti Fitnah (SAF) mendakwa ahli-ahli politik terlalu ghairah untuk menggunakan fitnah lucah terhadap pesaing-pesaing politik mereka.
Kata mereka, dakwaan palsu bukan sahaja membawa impak buruk ke atas soal maruah mangsa, malah ke atas keseluruhan masyarakat.
Jurucakap SAF, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, media mempunyai peranan besar dalam menghentikan penyebaran fitnah sedemikian.
“Media khususnya media arus perdana harus mengelak daripada terlibat dalam budaya fitnah menjatuh dan mengaibkan seseorang sama ada menerusi berita ataupun temu bual.
“Media juga seharusnya tidak bersubahat dalam menyebarkan fitnah dan mencetuskan keraguan di kalangan masyarakat Islam,” kata beliau pada satu forum yang diadakan di sebuah masjid di Ampang.
Malah kata beliau, media juga seharusnya mengamalkan prinsip kewartawanan yang beretika dan profesional.
Mohd Azmi juga menafikan pemimpin-pemimpin agama mengambil sikap membisu dalam isu berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk T”, yang lelaki dalam aksi seks adalah mirip seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Sebaliknya kata beliau, media tidak membolehkan pihaknya memberi pandangan mereka.
“Mereka yang membenarkan dan tidak mengatakan apa-apa mengecam fitnah juga bersalah tidur atas katil syaitan,” katanya.
Rakaman video seks itu didedahkan oleh “Datuk T” oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim tiga bulan lalu.
Laporan media hari ini juga menyebut siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” itu, mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya berkata, Nabi Muhammad s.a.w berkata mereka yang terlibat dalam fitnah bukan sebahagian daripada komuniti Islam.
“Adalah sesuatu yang mengarut apabila beliau (Abdul Rahim) mengatakan yang beliau mendedahkan video seks demi kebaikan masyarakat. Ia menunjukkan bahawa beliau tidak faham Islam,” katanya.
Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir juga menekankan bahawa rakaman video tidak boleh digunakan di mahkamah syariah memandangkan soal ketulenan boleh dipersoalkan.
“Tidak pernah video atau foto digunakan sebagai bukti dalam tuduhan berzina. Malah, penggunaan DNA juga tiada konsensus di kalangan ulama.
“Secara peribadi, DNA hanya dibenarkan jika ujian makmal dikendalikan oleh seorang Muslim yang alim,” katanya lagi. TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive