25 April 2011

RPK disiasat kerana beri maklumat palsu

KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, empat tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, ketika dihubungi hari ini berkata, pengendali portal "Malaysia Today" itu disiasat mengikut seksyen itu setelah keterangan diambil daripadanya semasa beliau berada di Bangkok, Thailand, dua hari lalu.

Keterangan itu diambil oleh pegawai polis Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu RPK di negara itu ketika majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) di mana beliau adalah pengerusinya.
Bakri berkata, pihak polis juga sedang giat menjalankan siasatan berdasarkan keterangan RPK selain keterangan daripada beberapa individu lain yang berkaitan dengan kes tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan indentiti individu lain yang telah dipanggil polis.

"Siapa yang telah dipanggil dan berapa orang yang dipanggil itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan dan tumpuan kita sekarang ini adalah untuk menyiasat dakwaannya (Raja Petra)," katanya.

Dalam temu bualnya dengan TV3 yang disiarkan pada 13 dan 14 April lalu, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive