28 April 2011

Senyuman pahit pada wajah Najib

Pada malam 8 Mac 2008, wartawan berkumpul di ibu pejabat UMNO dalam bangunan PWTC, menunggu sidang media yang akan dipanggil Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, untuk mengumumkan kemenangan BN dalam PRU ke-12. Sidang media ditundakan, kononnya untuk menunggu detik saat BN mencecah majoriti dua pertiga, seperti biasa.

Saat-saat yang dinanti-nantikan itu tidak kesampaian. Sehingga awal pagi 9 Mac, setelah dikesahkan bahawa BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga, barulah sidang media diadakan untuk mengumumkan pembentukan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah. Abdullah Ahmad Badawi yang pernah dilambung dengan penguasaan 91% kerusi dalam parlimen, kini terjunam ke jurang dengan kehilangan 2/3 dan kuasa di lima negeri.

Untuk memenuhi permintaan media, yang mungkin telah menyediakan ruang di depan akhbar untuk gambar ini, kedua-dua pimpinan tertinggi UMNO-BN, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak melambaikan tangan mereka ke arah jurugambar. Kedua-dua mereka terpaksa mengukir senyuman pada wajah - bezanya cuma manis atau pahit.

Penafian 2/3 jatuhkan Pak Lah

Belum sampai 12 jam, mantan PM Mahathir Mohamad memanggil sidang media di kediamannya untuk mendesak agar Abdullah meletak jawatan. Sambil berseloroh beliau menyindir, PM seharusnya "harakiri" (bunuh diri) untuk bertanggungjawab ke atas kegagalan sedemikian seandainya berlaku di Jepun. Apabila wartawan menyusul dengan lontaran soalan bahawa Mahathir tidak berbuat demikian ketika kekalahan UMNO-BN dalam PRU ke-10 pada tahun 1999, Mahathir membela diri dengan berkata, "majoriti 2/3 tidak dinafikan pada ketika itu..."

Di sini garisan dasar yang ditetapkan Mahathir (gambar kiri), dan mungkin kebanyakan anggota UMNO-BN. Abdullah tersungkur pada garisan ini, maka Najib yang mengambil alih tampuk pimpinan di sini, wajib bangkit dari garisan ini. Misi yang dipikul Najib adalah mengembalikan majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat, sementara merampas kuasa kerajaan negeri di Selangor (jikapun gagal melakukannya di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan).

Pendek kata, seandainya Najib gagal mencapai matlamat yang disasarkan itu, maka terbukti bahawa beliau gagal melakukan sesuatu yang lebih daripada Pak Lah. Lantas pengunduran Abdullah pada Mac 2009 tidak membawa apa-apa makna. Lantaran daripada itu, Najib terpaksa mengulangi nasib yang menimpa Pak Lah.

Najib dengan 1Malaysia-nya

Najib bermula dari gelanggang selepas dilanda tsunami politik. "1Malaysia" yang dilaungkan itu adalah reaksi terhadap ketidakpuasan masyarakat bukan Melayu. Padahal Najib bukanlah seorang tokoh yang terserlah dengan pegangan nilai yang tersendiri, sungguhpun beliau telah berkecimpung dalam politik sejak dirinya berusia 23 tahun. Malah beliau sendiri mengakui bahawa adalah penting untuk tidak berada di kem yang salah, atau menunggang kuda yang salah - ketika pemilihan dalam parti.

Dengan kata lain, keputusannya bukan berlandaskan prinsip pegangan mahupun idealisme, tetapi perhitungan kebarangkalian siapa yang bakal menang di penghujungnya. Sepanjang hayat politik Najib (gambar kanan), tiada "gagasan" yang memahat ingatan diketengahkan. Beliau pernah seketika mengutarakan konsep "Melayu GLOKAL" (GLObalisasi + loKAL) semasa Pak Lah berjinak-jinak dengan Islam Hadharinya, tetapi tidak diperkembangkan konsep ini apabila dirinya menyandang jawatan PM.

Jadi, bukan sesuatu yang menghairankan apabila laungan "1Malaysia" oleh Najib tidak disahut. Pertama, "1Malaysia" ini tidak disarat dengan intipati yang solid, kurang jelas - sehingga pentafsirannya berbeza-beza, malah saling bercanggah antara versi PERKASA, Utusan Malaysia, dengan MCA dan akhbar Cina. Sehingga kini Najib tidak memberi jawapan muktamad versi mana yang mendefinisikan gagasannya dengan tepat.

Keduanya, masyarakat bukan Melayu tidak lagi menerima sebulat-bulatnya konsep ini tanpa sebarang keraguan, setelah dikecewakan berkali-kali dengan pengalaman lalu. PM keempat Mahathir Mohamad tampil dengan slogan "Bersih, Cekap, Amanah", berakhir dengan korupsi, kronisme dan nepotisme. PM kelima Abdullah Badawi yang lembut orangnya, dengan slogan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" - berakhir dengan keris yang dihunus oleh Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Hishamuddin Hussein.

Ketiganya, sebelum konsep ini diketengahkan, UMNO menyerang Pakatan Rakyat dengan retorik Ketuanan Melayu-nya, malah mengambil pendirian yang terlalu "ekstrem" ketika membincangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Masalahnya timbul apabila "1Malaysia" ini seolah-olah satu U-turn (corner baring) untuk UMNO. Najib akan menampar muka dirinya jika menjawab soalan sama ada "Ketuanan Melayu" mahupun "Ketuanan Rakyat" lebih sejajar dengan "1Malaysia"-nya; apatah lagi apabila Model Ekonomi Baru (NEM) pada peringkat awal mencadangkan pendekatan untuk mansuhkan kuota bumiputera.

Bukan sahaja 1Malaysia hilang tarikannya, malah terpalit pula dengan "faktor tolakannya". Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa kerajaan Najib menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide, syarikat yang ada kaitan dengan regim Zionis; malah cuba mengaitkan antara slogan 1Malaysia dengan 1Israel. Kontrak bernilai RM77 juta kepada APCO ini telah mencetus kebencian di kalangan masyarakat Islam.

Mampu berkuasa dengan sokongan Melayu

Di sinilah dilema "1Malaysia". Ketidakpuasan masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina gagal diredakan dengan slogan ini, sebaliknya menimbulkan lebih masalah kepada UMNO ketika berdepan dengan masyarakat Melayu di kawasan desa. Najib semestinya menyedari masalah ini - siapakah pemimpin UMNO yang boleh mengolah konsep 1Malaysia dan NEM dengan baik, dan boleh memahamkan orang Melayu di kampung?

Dan di sini masalah Najib. Tiada perwakilan yang boleh membincangkan 1Malaysia dan NEM dengan baik, meyakinkan ahlinya dalam Perhimpunan Agung UMNO. Misalnya dalam Perhimpunan Agong UMNO pada Oktober 2010, perwakilan UMNO lebih berminat untuk membincangkan projek "Menara 100 tingkat" daripada transformasi ekonomi dan kerajaan. Perwakilan jelas lebih berminat dengan kontrak yang boleh diperolehi dari projek mega bernilai RM5 bilion ini, di samping retorik pembelaan maruah Melayu dengan cadangan lokasinya di Kampung Baru.

Mustahil Najib meraih undi Melayu di kampung dengan konsep 1Malaysia-nya. Daripada PRK yang berlangsung kebelakangan ini, penceramah yang ditampilkan di kampung Melayu adalah mereka yang keluar dari PKR, seperti Ezam Mohd Nor, digandingkan dengan Umi Halfida baru-baru ini, dengan temanya untuk memalit Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dengan skandal seks. Tiada kaitan antara 1Malaysia dengan undi Melayu di desa.

Masa yang tinggal untuk Najib semakin berkurangan. "Suasana PM baru" semakin jauh dari dirinya. Dengan keputusan PRK yang lepas, ditambah pula dengan PRN Sarawak 2011, UMNO sudah agak jelas dengan pola pengundian terkini. Sebagaimana yang dilihat, UMNO-BN mampu mengekalkan kuasa dengan paras sokongan Melayu yang sedia ada, walaupun kehilangan sokongan Cina. Persoalannya, adakah sokongan Melayu yang sedia ada membolehkan UMNO-BN untuk merampas majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat?

Maka tiba masa untuk Najib menentukan, sama ada menangguhkan PRU ke-13 ke tahun 2013, atau mengadakan PRU 13 secepat mungkin. Ini kerana terlalu banyak faktor pengubah, yang bakal mempengaruhi pola pengundian pada masa depan. UMNO-BN belum pasti dirinya meraih tahap sokongan Melayu yang sama seandainya PRU ke-13 ditunda ke tahun 2013.

Lebih-lebih lagi, suasana ekonomi yang tidak menentu pada masa depan. Jepun, rakan perdagangan yang rapat dengan Malaysia, ditimpa tsunami dan gempa bumi tidak lama sebelum ini - dan tidak diketahui sejauh mana kuasa ekonomi ini mampu pulih dan bangkit semula. Seandainya keadaan ekonomi merudum dalam masa setahun ini, maka segala-gala usaha Najib di bawah NEM akan ditenggelami.

Muhyiddin menunggu durian runtuh

Muhyiddin Yassin, sebagai orang kedua dalam kerajaan dan UMNO, sebenarnya berada pada keadaan yang lebih selesa. Najib, dengan segala kuasa yang ada dalam tangan, memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa yang sama. Silap satu langkah, maka Najib bakal diguling dari jawatan Perdana Menterinya.

Muhyiddin agak konsisten selepas menjadi Timbalan Presiden UMNO. Beliau secara terbuka mendakwa bahawa dirinya mendahulukan identiti Melayu-nya, daripada Malaysia-nya - satu pengakuan yang jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia. Baru-baru ini, beliau sekali lagi mempertahankan tulisan "Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu 1Bumi" oleh Zaini Hassan dari Utusan Malaysia, selepas Najib mendakwa bahawa pandangan ini tidak mewakili kerajaan.

Muhyiddin (gambar kanan) mungkin berkongsi pandangan yang sama dengan Utusan Malaysia - teruskan sahaja dengan agenda Melayu, dan jangan lagi membuang masa untuk memikat undi Cina. Seandainya Najib tidak mengambil pendekatan sedemikian, maka beliau perlu bertanggungjawab jikalau keputusan PRU 13 menyaksikan UMNO kehilangan sokongan di kedua-dua pihak (Melayu dan bukan Melayu).

Sokongan Melayu yang sedia ada terhadap UMNO tidak menjamin majoriti dua pertiga untuk BN. Persoalannya, jikapun UMNO menang besar dalam PRU 13, tetapi apakah kedudukan Najib tetap kukuh, apabila kerajaan BN tidak mendapat sokongan daripada kaum kedua terbesarnya dalam negara? Dan apakah malam hari pengundian PRU ke-13 bakal menyaksikan ulang tayang adegan yang sama seperti awal pagi 9 Mac 2008, tetapi dengan senyuman pahit pada wajah Najib?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive