09 May 2011

Isu Kristian - SMM tuntut Utusan, blogger mohon maaf

SMM tuntut Utusan, blogger mohon maaf jika dakwaan tak benar
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
May 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Utusan Malaysia dan blog memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia jika didapati menyiarkan laporan tidak bertanggungjawab kononnya ada konspirasi mengubah status agama rasmi negara ini.

Pengerusinya Ahmad Syukri Ab Razab berkata, Utusan Malaysia selaku media arus perdana tidak sepatutnya menyebarkan laporan yang dipetik daripada penulisan blog kerana ia kemungkinan tidak benar dan boleh menimbulkan ketegangan antara agama terutamanya orang Islam dan penganut Kristian.

Ahmad Syukri berkata demkian sebagai respons terhadap akhbar berkenaan kelmarin yang melaporkan wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Laporan itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadi Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Laporan muka depan dengan tajuk “Kristian agama rasmi” itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Tegas Ahmad Syukri, penulisan blog yang dipetik Utusan Malaysia tidak seharusnya dijadikan bahan publisiti oleh akhbar milik Umno itu kerana ia tidak menghormati sensitiviti agama lain.

“Sekiranya penulis blog itu benar-benar memiliki bukti mengenai isu yang ditimbulkan, saluran yang betul perlu digunakan agar isu ini dapat disiasat tanpa mewujudkan ketegangan yang mengancam keharmonian rakyat.

“Selain itu, SMM juga mendesak agar mana-mana pihak tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik bagi menamatkan kekeruhan yang telah tercetus... SMM berpendirian untuk menunggu siasatan polis dan sekiranya terbukti isu yang ditimbulkan adalah fitnah dan berniat jahat, maka blogger itu perlu dikenakan hukuman berdasarkan kesalahan fitnah,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya dakwaan penulis blog itu benar pihaknya menuntut agar siasatan lanjut dilakukan agar Perlembagaan Persekutuan dijaga dan terpelihara.

“Sekiranya isu yang ditimbulkan oleh blogger berkenaan adalah benar iaitu wujud sentimen yang cuba mencabar kedudukan agama Islam dalam Artikel 11 Perlembagaan, maka SMM menuntut agar siasatan lanjut diadakan agar integriti Perlembagaan Malaysia kekal sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive