10 May 2011

Perkasa minta peguam Syahredzan jangan khianati Islam

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
May 10, 2011

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Datuk Ibrahim Ali memberi amaran kepada peguam Syahredzan Johan agar tidak menjadi “pengkhianat kepada Islam” ekoran kenyataanya mengenai status Islam dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Presiden Perkasa itu, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan tetapi dari segi takrifan Islam adalah agama rasmi negara.

“Mahkamah Tinggi Malaya pernah buat keputusan yang mana setiap keputusan mahkamah adalah undang-undang yang mesti diikuti.

“Walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan, maka dari segi takrifan apabila agama lain tidak menjadi agama Persekutuan, maka agama Islam dengan sendiri menjadi agama rasmi (negara),” katanya.

Justeru kata Ibrahim, sepatutnya sebagai seorang peguam Syahredzan faham mengenai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Itulah hasrat Perlembagaan Persekutuan... apakah Syahredzan Johan tidak faham walaupun seorang peguam? Tidak semestinya pandangannya betul kerana undang-undang berkait antara satu sama lain malah Artikel 153 adalah asas Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan Islam, bahasa Malaysia, Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Baca buku Perlembagaan Persekutuan tulisan Tun Mohamed Suffian Hashim, malah pada tahun 1972 Akta Hasutan diperkasakan untuk melindungi perkara dalam Artikel 153.

“Sempit sungguh peguam ini atau buat kenyataan sekadar mahu jadi popular di kalangan peguam yang ramai bukan Islam, ingatan saya jangan jadi pengkhianat kepada Islam,” katanya.

Syahredzan dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara dengan merujuk kontroversi yang tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Akhbar milik Umno itu dan beberapa kumpulan Melayu-Muslim termasuk pemimpin-pemimpin Umno sendiri menekankan pandangan bahawa undang-undang tertinggi negara mengisytiharkan Islam sebagai agama “rasmi” dan hanya Muslim boleh menjadi perdana menteri.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau.

Beliau merujuk kepada Artikel 3 yang menyebut bahawa “agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai Persekutuan di mana-mana bahagian Persekutuan” dan menekankan bahawa perkataan “rasmi” tidak pernah disebutkan di mana-mana bahagian.

Syahredzan berkata, seksyen dalam Perlembagaan mesti ditafsir bersama Artikel 11, di mana setiap orang ada hak untuk mengamalkan agama masing-masing dan tertakluk kepada Klausa (4) yang mana berkaitan dengan Islam ¬ untuk menyebarluaskannya.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider, Ibrahim juga meminta agar siasatan dilakukan terhadap semua media yang mengeluarkan laporan yang menghina Islam.

“Kenapa tidak siasat media-media Cina, blogger, portal, Twitter yang mengeluarkan laporan yang menghina Islam, hina Raja-raja Melayu dan hina orang Melayu,” katanya - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive