26 May 2011

Royalti : Kerajaan Kelantan kalah ... dah boleh agak !!!

PUTRAJAYA: Kerajaan Kelantan gagal dalam rayuan untuk menghalang Kerajaan Persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung royalti minyak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan bahawa kehadiran Kerajaan Persekutuan dalam saman sivil adalah perlu bagi memastikan perkara yang menjadi pertikaian dalam kes itu benar-benar diputuskan.

Katanya panel hakim berpuas hati bahawa ada isu berbangkit daripada relif yang dituntut oleh kerajaan Kelantan dan ia "adil dan sesuai" bahawa isu-isu itu ditentukan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas. "Kami dapati tiada merit dalam rayuan kedua kerajaan negeri, " kata Hakim Low dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam saman itu.

Panel hakim itu terdiri daripada Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak rayuan kedua kerajaan negeri dan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi bahawa saman itu dibicarakan di Mahkamah Sivil Baru (NCvC), dan bukan di Mahkamah Komersial Baru (NCC) di mana saman itu difailkan. Hakim Low memutuskan bahawa pertukaran ke mahkamah NCvC oleh hakim yang mengurus adalah konsisten dengan arahan amalan No 1/2008. Katanya pertukaran itu bukan satu pertukaran tindakan dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain tetapi satu pertukaran antara satu bahagian di mahkamah yang sama.
Kerajaan negeri mahu saman itu dipindahkan semula ke NCC.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang keputusan berhubung permohonan kerajaan negeri Kelantan untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi yang sebutannya dijadual Isnin ini.
Panel hakim memerintahkan peguamnya Tommy Thomas untuk memfailkan permohonan rasmi.
Thomas berkata kerajaan negeri menuntut perintah penangguhan kerana ia mahu memfailkan kebenaran untuk merayu dengan Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.
Kerajaan negeri menyaman Petronas kerana didakwa melanggar kontrak berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri berhubung royalti minyak.
Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri menuntut supaya Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum dikeluarkan di pesisir Kelantan seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Petroleum. Sebelum itu, Thomas berhujah bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kepentingan dalam saman sivil itu kerana tuntutan dan relif yang dituntut kerajaan negeri itu adalah terhadap Petronas.
Katanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 menetapkan bahawa Petronas menerima 90 peratus daripada pembayaran tunai dan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing menerima lima peratus daripada pembayaran tunai bagi petroleum yang diperoleh di pesisir dan di luar pesisir.
Thomas berkata kerajaan negeri Kelantan bukan mempersoalkan hak Kerajaan Persekutuan menerima lima peratus pembayaran tunai dari petroleum yang diperoleh di pesisir dan luar pesisir.
Katanya Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menjadi pencelah dalam saman sivil ini kerana ia (Kerajaan Persekutuan) mempunyai kontrak berasingan dengan Petronas berhubung pembayaran tunai dan bahawa Petronas tidak menghentikan pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi yang mewakili Kerajaan Persekutuan membantah kerana perkara yang dipertikai itu adalah berhubung hak ke atas petroleum dalam pentas benua luar pesisir pantai Kelantan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu dijadikan satu pihak dalam saman itu kerana petroleum di pentas benua itu adalah milik Kerajaan Persekutuan.
Petronas diwakili Tan Sri Cecil Abraham dan Rishwant Singh - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive