06 May 2011

SAF beri JAWI satu bulan kuat kuasa qazaf

Oleh Zulaikha Zulkifli

May 06, 2011
KUALA LUMPUR, 6 Mei — Saf Anti Fitnah (SAF), yang diwakili NGO Islam dan ulama memberi tempoh sebulan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menguatkuasakan undang-undang Islam qazaf ketika isu video seks dan liwat semakin menjadi perhatian.
 
Jurucakapnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika tiada sebarang tindakan di pihak JAWI dalam tempoh sebulan ini, perhimpunan lebih besar akan diadakan memprotes agensi tersebut.

“Kami meminta JAWI menguatkuasakan hukum qazaf. Kami beri tempoh sebulan untuk bertindak, kalau tidak kami akan adakan satu perhimpunan raksasa,” kata beliau.

Azmi berkata demikian ketika berucap di Himpunan Amarah Rakyat di pekarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat tadi.

Himpunan aman tersebut dihadiri kira-kira 40 orang yang rata-rata mewakili pertubuhan masing-masing.
Selain itu, Azmi turut mempersoalkan mengapa sehingga kini pihak berkuasa  tidak menguatkuasakan undang-undang qazaf.

Isu liwat dan pendedahan video seks, yang didedahkan oleh tiga “Datuk T” yang menjadi perhatian sekarang ini, khususnya dengan dikaitkan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak berkuasa diberi mandat menguatkuasakan undang-undang qazaf seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 41, Enakmen Jenayah Syariah 1997 Wilayah Persekutuan ... (tetapi) sehingga kini tidak dilaksana.

“Pihak berkuasa ini seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak, malah hanya menjadi penonton kepada jenayah yang dilakukan secara jelas itu,” katanya.

Terdahulu, selepas ucapan pada himpunan tersebut oleh wakil pertubuhan dan parti politik, gimik mengoyak dan duduk di atas akhbar Utusan Malaysia turut dilakukan.

Ia bertujuan bagi menunjukkan rasa marah terhadap akhbar milik kerajaan itu yang disifatkan sebagai ejen penyebar fitnah.

Selepas itu, seramai 10 wakil pertubuhan antaranya Naib Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip  berarak ke JAWI bagi menghantar memorandum.

Memorandum tersebut diterima oleh Timbalan Pengarah Pengurusan JAWI Abdul Murad Wahab.

Jumaat lalu telah ada desakan terhadap JAWI untuk mengambil tindakan qazaf terhadap “Datuk T” sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah — salah seorang “Datuk T” melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive