Humban 11 Mei Umno dalam muzium
TIDAK ada maknanya bagi orang-orang Umno untuk mengenang peristiwa bersejarah penubuhan parti yang diasaskan pada 11 Mei 1946, jika ia sudah lari dari paksi perjuangan asalnya.
Umno yang ada hari ini jauh menyimpang, daripada yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar. Umno yang ada adalah Umno versi Tun Dr Mahathir Mohamad, dihidupkan semula selepas sengaja dibiarkan haram pada tahun 1988.
Mengapa Umno dibiarkan haram? Jawapannya ialah kerana selepas Dr Mahathir hampir tewas pertandingan jawatan Presiden Umno pada tahun 1987 dengan beza 40 undi sahaja, bermakna separuh daripada perwakilan dan ahli Umno ketika itu menolaknya.
Apabila Umno diharamkan, penyokong Razaleigh dan Mahathir berpecah. Sebahagian besar masih ikut Mahathir kerana banyak faktor. Sebahagiannya mengikut Razaleigh yang menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.
Dalam erti kata lain, Umno 'tulen' yang diasaskan perjuangannya oleh Onn sudah tidak wujud.
Umno dilahirkan di Istana Johor. Ia ditubuhkan dengan restu penjajah British. Mereka dijadikan anak emas penjajah dan diberikan red carpet untuk menerima anugerahkan kemerdekaan dengan mudah.
Sedangkan pejuang-pejuang asal kemerdekaan yang dipelopori pejuang-pejuang hebat seperti Abu Bakar Bashir, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ibrahim Yaakub, Ahmad Boestamam dan ramai ulama-ulama tersohor yang dipenjara, dibunuh dan dibuang daerah.
Pada diri tokoh-tokoh hebat ini mengalir darah perjuangan Melayu-Islam. Mereka adalah pejuang sebenar, tetapi nama-nama hebat mereka dipadamkan sebagai pejuang tulen Islam dan nasionalisme Melayu menentang penjajahan British.
Tiada seorang pemimpin Umno pun menghadapi tekanan daripada British sebagaimana yang dihadapi oleh tokoh-tokoh hebat ini. Jangankan darah, tiada setitik peluh pun mengalir di dahi pemimpin Umno akibat hambatan British.
Justeru, hakikat sebenarnya, Umno tidak layak untuk mendabik dada kononnya mereka adalah parti yang benar-benar tulen memperjuangkan nasib bangsa.
Apa yang disebutkan sebagai asas perjuangan Umno adalah nasionalisme Melayu. Perjuangan Umno untuk memelihara bangsa, agama dan negara, hanya retorik kosong buat mengelabui mata rakyat semata-mata.
Memperingati hari lahir Umno pada 11 Mei saban tahun tidak bermakna jika paksi perjuangan Umno yang sebenarnya sudah tidak ada.
Umno harus sedar bahawa ia sudah dimamah kebusukan yang melampau. Kepimpinannya, dari Presiden, MT dan seluruh akar umbi sudah tidak mampu diperbetulkan.
Mereka sudah rosak dengan segala bentuk kekayaan dan ketamakan kerana terlalu lama di puncak kuasa. Amalan korupsi, kronisme dan nepostisme sudah semakin merosakkan Umno.
Umno lama berjuang untuk memartabatkan rakyat, justeru ramai kalangan pemimpinnya ketika itu datang dari golongan guru dan marhain. Menaiki basikal cabuk dan motor lama keluar masuk kampung berkempen.
Umno baru hari ini, jika Ketua Bahagiannya tidak berkereta mewah, tidak ahli korporat, tidak memperolehi projek daripada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan PBT, tidak sah.
Itu baru Ketua Bahagian, belum lagi AJK Pemuda, Wanita dan Puteri. Semuanya pakat kongsi harta rakyat, hampir semuanya kaya raya. Lagi pun muda-muda lagi, orang Utara kata 'masih berhingus' dah dapat gelaran Dato'.
Hebat Umno ini. Punyalah sakan mereka meratah harta rakyat. Bahayanya ialah apabila sudah terlalu lama berkuasa, harta rakyat, harta negara, dianggap macam harta 'mak bapak' mereka sendiri.
Rakyat boleh melihat kepada Dr Mahathir. Lihatlah bagaimana semasa menjadi PM, anak-beranaknya mempunyai lebih 160 syarikat. Sekarang ini pun beliau menjadi Pengerusi Petronas, bagaimana anaknya boleh begitu kaya mendapat projek dan tender Petronas?
Dr Mahathir usahlah cakap putar alam, kononnya memperjuangan Melayu tulen. Nasionalis tulen yang hebat.
Begitu juga dengan bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika berkuasa. Syarikat milik anak-anak dan kroni beliau begitu rakus. Dengan Scominya, Patrick Limnya, Kalimullah Masheerul Hassannya. Macam-macam kehebatan, sehingga digelar kerajaan anak-beranak.
Lihat juga kepada PM Najib. Bagaimana adik beliau Dato' Nazir Razak memperolehi laba yang besar dalam negara.
Akhirnya rakyat harus berfikir, apakah faedahnya mereka menyokong Umno? Menyokong Umno kononnya atas nama perjuangan Melayu, tetapi yang kaya raya, yang menyapu harta rakyat, semuanya anak-beranak pemimpin-pemimpin Umno?
Kekayaan anak-beranak PM dan bekas PM bukan menjadi rahsia dalam Umno. Adakah semua mereka ini menjadi kaya raya dengan hasil titik peluh sendiri tanpa dukungan kerajaan yang memerintah?
Oleh sebab itu, pemimpin Umno termasuk bekas pemimpinnya seperti Dr Mahathir tidak layak untuk mendadik dada mereka adalah pejuang nasionalis yang sebenar.
Mereka sebenarnya hanya berjuang untuk memenuhkan wang saku serta kantung mereka semata-mata.
Mempertahankan kuasa Umno samalah seperti mempertahankan serta melindungi kepentingan peribadi yang begitu banyak dalam negara.
Jika Umno dijatuhkan dan Umno tidak lagi menjadi parti pemerintah, nescaya mereka semua akan turut tersekat daripada terus meratah harta rakyat.
Tiada jalan lain untuk menyelamatkan negara, menyelamatkan hak rakyat, selain menghumban Umno ke dalam muzium. Cukup-cukuplah Umno-BN berkuasa.
Justeru itu, menjelang setiap 11 Mei, rakyat tidak seharusnya bergembira, sebaliknya meratap kesedihan kerana puak-puak yang masih rakus membidak-bidak harta rakyat untuk kepentingan kroni dan kaum keluarga masih terus berkuasa.
No comments:
Post a Comment