16 June 2011

Bersih 2 : Kita akan buktikan siapa lebih perkasa dari PERKASA - Mat Sabu

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KLANG, 16 Jun — Pakatan Rakyat menyifatkan langkah Perkasa yang mahu mengadakan perarakan balas serentak dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak akan memberi sebarang ancaman terhadap gerakan menuntut pilihan raya adil dan bebas itu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) berkata, Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetap diteruskan sambil menyifatkan Perkasa sebagai “perkara kecil.”

“Perkasa ini perkara kecil sahaja, tiada apa-apa akan berlaku... kita bukan timbulkan apa-apa pun.

“Bagi pihak Bersih kita hanya mengadakan perhimpunan aman, tiada apa-apa provokasi, tapi kita minta agar polis mengawal keselamatan,” katanya selepas pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Selangor di Dewan Hamzah di sini malam tadi.

Himpunan Bersih 2.0 mendapat tentangan pihak pro- Barisan Nasional (BN). Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali memutuskan untuk mengadakan perarakan balas serentak pada hari yang sama.

Ibrahim berkata pihaknya akan menganjurkan protes balas bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 selain mendakwa ia akan menimbulkan huru-hara.

Justeru tegas Mohamad, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Perkasa, namun mempersoalkan mengapa perlu diadakan pada hari yang sama dengan Himpunan Bersih 2.0.

“Mengapa mesti hari yang sama? Perkasa boleh pilih tarikh lain... inikan negara demokrasi.

“Jadi, saya minta agar polis dapat mengawal keselamatan dan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengundang perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berkata, Himpunan Bersih 2.0 yang bertemakan “Walk For Democracy” akan diadakan secara santai tanpa menimbulkan sebarang ketegangan.

Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS pusat ini menambah Himpunan Bersih 2.0 bukan gerakan parti politik tapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut pilihan raya adil dan bebas.

“Jadi saya minta peserta yang hadir hanya membawa bendera Malaysia dan bendera negeri bukan bendera parti politik . . . slogan juga mesti slogan Bersih 2.0, jangan bawa senjata, kalau ada provokasi jangan dilayan sebab kita berhimpun secara santai.

“Tujuan kita bukan nak kecam sesiapa tapi hanya mahukan pilihan raya yang adil dan bebas, kalau tiada perubahan negara akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Turut hadir dalam program itu Pesuruhaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei dan Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago.

Semalam jawatankuasa pemandu Bersih berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan polis bagi memastikan perjalanan perhimpunan aman itu dapat dijayakan.

Sementara itu, ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat Selangor itu menggesa rakyat negeri itu agar sama menyertai Himpunan Bersih 2.0.

“Kita mahu tuntut SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) memberikan keadilan, ruang dan tempat kepada kita.

“Kita mahu SPR lebih telus dan bukan mengadakan pilihan raya sebab nak berikan kemenangan kepada Umno-BN,” kata Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda.

Sementara itu, Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang berkata sistem pemerintahan sedia ada perlu digantikan kerana ia dipenuhi dengan penyelewengan dan membebankan rakyat.

“Mengapa Himpunan Bersih 2.0 ini harus berjaya? Sebab kita mahu beri mesej kepada rakyat agar menukar kerajaan sekarang,” katanya.

Dr Abd Rani yang juga Adun Meru pula berkata, kekecohan akan berlaku sekiranya polis mengganggu perjalanan Himpunan Bersih bulan depan selain provokasi daripada pihak lain.

“Kalau Umno-BN nak kata kita dengan apa sekali pun biarkanlah... dipersilakan sebab kita bukan nak timbulkan huru-hara.

“Kalau Perkasa kata mahu turut mengadakan perhimpunan kita sedia dan kita akan buktikan siapa yang lebih perkasa daripada Perkasa,” katanya. TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive