09 June 2011

Hubungan PAS - Umno semakin sukar selepas Muktamar

SHAH ALAM - Harapan UMNO untuk menjalin perpaduan dengan Pas semakin sukar selepas kepimpinan tertinggi Pas yang baru dipilih pada Muktamar baru-baru ini terus melaungkan slogan bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Atory Hussain berkata, Pas selepas ini akan terus menjauhkan diri dari UMNO kerana kepimpinan baru Pas amat yakin boleh menawan Putrajaya dengan bantuan PKR dan DAP.

Menurutnya, walaupun UMNO sudah beri isyarat perpaduan dengan Pas sejak beberapa tahun lalu, Pas dilihat menolak mentah-mentah konsep perpaduan anjuran UMNO tersebut.

“Walaupun Pas terus menolak, tetapi saya tahu jauh di sudut hati pemimpin UMNO, mereka masih mahu dan tidak berputus asa supaya hubungan perpaduan ini dapat menjadi realiti.

“Begitu juga jauh di sudut hati sesetengah pemimpin Pas, mereka mahu menyambut seruan itu tetapi Pas sekarang tidak boleh kerana ‘terperangkap’ dalam PR,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan kelmarin yang meminta pemimpin Pas agar jangan sandarkan kepada kenangan kerana pemimpin kedua-dua parti sekarang terdiri daripada generasi baru, Ahmad menjelaskan ia masih sukar kerana Pas ‘diikat’ kedua-dua kakinya.

“Pas tidak seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN), dalam BN kesemua parti komponen memberi mandat dan mengikut tindak tanduk UMNO. Pas tidak begitu dalam PR.

“Selepas pilihan raya umum lalu, Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) terlepas cakap dengan menyebut mengenai kerajaan perpaduan, beliau ingat Pas seperti UMNO tetapi tidak, jadi beliau terpaksa membuat pusingan U,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan yang akan menyebabkan Pas bersama UMNO pada masa depan, Ahmad menjelaskan buat masa sekarang tidak ada petunjuk yang menggambarkan kedua-dua parti akan duduk semeja.

“Dari segi sejarah, Pas pernah bersama dengan UMNO pada tahun 1970an dengan membentuk kerajaan campuran selepas berlakunya tragedi 13 Mei. Pemimpin Pas ketika itu adalah Datuk Mohamad Asri Muda.

“Pas boleh bersatu dengan UMNO pada ketika itu kerana Pas berseorangan, tidak terikat dengan parti-parti lain. Selepas itu mereka berpecah, bagi saya punca perpisahan ini kerana kesalahan kedua-dua pihak, UMNO besar kepala, Pas pula berangan,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive