01 June 2011

Pemuda PAS buka pintu pada Hata

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan jika bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia Mohd Hata Wahari mahu menyertai PAS.

Ketua Penerangannya, Heraman Samsudeen berkata, parti Islam adalah medium terbaik buat beliau meneruskan perjuangan bagi mengangkat suara-suara wartawan yang tertindas dan juga mengembalikan hak kebebasan akhbar di negara ini.

“Berjuang bersama PAS sebagai satu pasukan adalah lebih baik dari terus bersendirian dan Pemuda PAS Wilayah bersedia membantu beliau jika beliau benar-benar berminat menyertai PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Herman turut berkata, Pemuda PAS Wilayah juga bersedia menemui beliau bila-bila masa untuk berbincang mengenai hal itu.

“Harapan DPPWP, semoga beliau memilih tempat yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan dan PAS membuka pintu seluas-luasnya untuk beliau menjadi ahli,” ujar Herman lagi.

Hata dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, beliau sedia menimbang untuk menyertai parti politik bagi meneruskan perjuangannya selepas tidak lagi terlibat dengan NUJ.

Bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan itu berkata beliau masih belum membuat keputusan parti yang mahu disertainya.

“Setakat ini, saya berjuang secara individu dahululah. Lagi pun parti politik mana nak terima saya. Lainlah kalau PAS tawar, saya boleh pertimbangkan,” katanya.

Semalam, Hata dilaporkan akan melepaskan jawatannya sebagai presiden NUJ berkuat kuasa serta-merta selepas dipecat Kumpulan Utusan - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive