Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 tetap akan dijalankan meskipun beliau bersama beberapa orang anggota BERSIH yang lain berdepan dengan ugutan bunuh yang disampaikan melalui pesanan ringkas (sms).
Ambiga mengakui bahawa dirinya tidak terkejut dengan ugutan yang diterima, "tapi sangat kecewa kerana seorang warga Malaysia bertindak untuk mengugut seorang lagi warga Malaysia. Hanya kerana hasrat kami untuk mengadakan satu perhimpunan yang aman. Perhimpunan kami adalah aman. Saya amat kecewa."
"Untuk kami, kami akan menjalankan perhimpunan ini dengan aman dan bertanggungjawab, tiada kena-mengena dengan perkauman. Pada hakikatnya ini adalah usaha bersama dari pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, untuk menggerakkan reformasi sistem pilihan raya. Mereka yang mengugut kami, saya berharap mereka akan berdepan dengan kuasa undang-undang. Kami hanya boleh mengawal perkara yang boleh kami kawal."
Beliau juga berkata, tiada alasan untuk dirinya berasa takut selagi polis menjalankan tugas mereka. Ambiga (gambar kiri), bersama beberapa rakannya dalam BERSIH, termasuk Wong Chin Huat, Maria Chin Abdullah, dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Khairul Anuar yang menerima sms ugutan semalam, membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada tengah hari ini. Mereka ditemani kira-kira 40 orang aktivis sosial, termasuk pertubuhan mahasiswa sebagai tanda sokongan terhadap pemimpin BERSIH.
Ambiga berkata beliau menyerah kepada polis untuk menyiasat siapakah pelaku di sebalik ugutan ini, dengan nombor telefon yang digunakan untuk menghantar sms ugutan bunuh tersebut. Beliau menyeru agar semua orang bertenang, dan mereka yang diugut telah mengambil langkah yang sebaiknya untuk melindungi diri.
Ugutan perbuatan pengecut
Maria Chin Abdullah (gambar kanan) yang menerima sms ugutan pada jam 12.41 tengah malam mencabar agar pelakunya tampil untuk berdepan dengan BERSIH, bukannya menyembunyikan diri dan menghantar sms.
"Saya menganggap ia sukar diterima, kerana sms ini bukan sahaja mengancam nyawa, tetapi sarat dengan kenyataan perkauman. Saya rasa, sesiapapun yang menghantar sms ini harus berani untuk tampil dan berbincang dengan kami. Seandainya anda tidak gembira dengan apa yang kami lakukan, beritahu kami, masalah anda."
"Kami dalam BERSIH berbuat demikian demi reformasi pilihan raya, malah kami mempunyai bukti penyelewengan pilihan raya. Bincanglah dengan kami, dan bukannya menjadi pengecut dengan menghantar sms sedemikian kepada saya, nak mengancam nyawa seseorang manusia. Kami tiada kena-mengena dengan keganasan, perhimpunan ini tiada kena-mengena dengan keganasan, dan kami tidak mahu respon dengan keganasan. Saya rasa, sesiapapun yang menghantar sms ini, sila hentikan, berbincanglah dengan kami berani," kata Maria Chin.
Wong: Makin ramai makin aman
Dalam satu sidang media selepas laporan polis, Wong Chin Huat berkata, "Pendirian saya atas isu ini ada tiga. Pertama, ini menunjukkan keganasan berada di belakang pilihanraya yang kotor. Kita tidak dapat mendukung keamanan tanpa menentang pilihanraya kotor."
"Kedua, BERSIH adalah satu pergerakan yang aman, kita akan teruskan, pihak kami mengalu-alukan jaminan Menteri untuk menjalani penyiasatan dan sebagainya. Adalah penting untuk menunjukkan kepada semua bahawa keganasan tidak ada tempat di negara ini. Keganasan tidak bertaktah di negara ini, kalau tidak pelabur asing akan meninggalkan negara ini."
Wong (gambar kanan) meneruskan, "Ketiga, (saya) ingin tegaskan bahawa perhimpunan 709 akan dijalankan secara aman, dan semakin ramai yang sokong semakin aman (perhimpunan), kerana pihak polis sudah pasti akan memberi kerjasama kerana cukup rakyat Malaysia yang datang ke hadapan untuk menolak keganasan dan pilihanraya yang bersih."
Teks asal sms yang dikirim melalui nombor 01119732179 adalah, "Korg ni buta hati ke?? buat apa sokong ambiga keling paria haramjadah tu? dia ni kapir laknat. korang tau tak dia ni jadi alat anjing2 politik untuk musnahkan keutuhan melayu. dia kata je nak BERSIH kan SPR. bersih kepala bapak dia.
puak2 PAS n PKR pun buta tuli n pekak badak.. kalau SPR tak bersih, boleh ke diorang menang kat Sgor, Kedah, Penang, Kelantan n perak dulu? DAP cina sial tu pulak lagi haram jahanam. dia tengok je melayu bertekak. hujung2 dia perintah negara ni dan kristiankan kita semua. aku nak kasi amaran kat korang semua."
kalau perhimpunan ni jadi, aku dan org2 aku akan bunuh ambiga dan korang2 keliling dia satu persatu, termasuklah orang2 politik bangang yg bersekongkol ngan kafir laknat tu.. ini amaran aku. Korang tengokla nanti."
Di samping itu, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein (gambar kiri) memandang serius kejadian ugutan sms ini, malah akan mengarahkan polis agar siasatan dijalankan ke atas pihak yang menghantar sms berbaur ugutan tersebut.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.
No comments:
Post a Comment