05 July 2011

BERSIH 2.0 : Perhimpunan Bersih tetap diteruskan

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka untuk mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 di stadium , susulan pertemuan wakil NGO itu dengan Yang di Pertuan Agung tengahari tadi.

Pengerusi Bersih 2.0, S.Ambiga membuat pengumuman itu selepas mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin.

Bagaimanapun tidak dinyatakan di stadium mana himpunan itu akan diadakan.

Manakala Pengumuman Pakatan pula dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim dalam kenyataan satu bersama.

Justeru Pakatan Rakyat menyeru kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan terhadap mereka digugurkan di samping terbuka dengan tawaran Perdana Menteri agar berhimpun di stadium.

“Setelah melalui beberapa proses perbincangan, kami ingin merakamkan pendirian bahawa ketiga-tiga parti mengambil sikap terbuka dengan tawaran Perdana Menteri itu selagi ia menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Mereka berkata, proses reformasi perlu dilaksanakan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13 bersesuaian dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 dan ia memerlukan komitmen Datuk Seri Najib Razak.

“Kesediaan ini juga perlulah disambut oleh pihak berkuasa dengan menghentikan pendekatan keras yang diambil setakat ini,” kata mereka.

Mereka menambah, ketiga-tiga parti bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang lain bagi memastikan perjalanan perhimpunan itu nanti berjalan dengan baik dan aman.

“Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat menyeru supaya kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka digugurkan,” ujar mereka lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16603

1 comment:

izham said...

najib jangan sombong dan angkuh...lu kena ingat sikit la bro,lu golongan bangsawan kalau jatuh sakit oooi,jadi cakap tu jangan emosi sangat,kuasa tu tak banyak mana dan lama mana,sekejap saja dah terkucil......???

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive