(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam , Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat ditembak kanister gas pemedih mata 9 Julai lalu, mempertimbangkan untuk mengemukakan saman terhadap polis.
Ia berikutan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata secara tepat ke arah peserta himpunan Bersih dan menjadikan beliau antara sasaran keganasan tersebut.
“Kita akan tunggu dan saya akan mendapatkan nasihat pihak peguam dan saya akan mempertimbangkan untuk menyaman pihak polis di mahkamah” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Beliau pada masa sama menyifatkan pihak polis cuba menegakkan benang yang basah apabila menuduh pimpinan Pakatan Rakyat berbohong dan berlakon tentang keganasan yang dilakukan polis dan FRU.
Pada 9 Julai lalu, Khalid Samad mengalami kecederaan teruk di kepala selepas terkena kanister gas pemedih mata FRU di laluan bawah KL Sentral, semasa himpunan aman Bersih 2.0.
Kanister tersebut- juga dipercayai digunakan tentera Israel- turut menyebabkan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Al-Bakqry mengalami kecederaan parah, menyebabkan tulang pipinya remuk dan terpaksa menjalani pembedahan.
Fayyadh pada masa itu cuba melindungi Anwar dari terkena serangan kanister gas itu.
Sekurang-kurangnya 12 tembakan mendatar dilepaskan ketika peserta himpunan itu terperangkap di laluan bawah KL Sentral, dengan tembakan tidak disasarkan 45 darjah ke udara seperti sepatutnya.
Ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kelmarin, peguam yang mewakili Fayyadh, N Surendran berkata, tembakan gas itu diarahkan oleh Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
N Surendran berpendapat tindakan itu merupakan satu usaha serius untuk mendatangkan kecederaan, malah membunuh orang ramai.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17296
No comments:
Post a Comment