KUALA LUMPUR: Walaupun selepas berbincang lebih kurang sejam, namun pihak polis tetap bertegas tidak membenarkan peguam mahupun keluarga menemui enam individu yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO).
Menurut peguam, Edmund Bon yang mewakili mereka, tindakan polis yang menahan semula keenam-enam tahanan tersebut selepas dibebaskan, berbaur politik.
Edmund bersama K.Arumugam, Yudhistira Dorai, Fatimah Ismail dan Amer Hamzah Arshad hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini untuk berjumpa anak guam mereka, namun tidak dibenar berbuat demikian oleh polis.
“Tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat adalah tahanan berbaur politik, tetapi kami tetap membuat permohonan untuk berjumpa dengan anak guam.
“Kita datang hari ini untuk membuat permintaan sama ada boleh berjumpa dengan anak guam. Kami sangat kecewa, tetapi akan tetap meneruskan perjuangan ini,” katanya ketika sidang media selepas pertemuan dengan pihak polis.
Edmund berkata, peguam akan memfailkan habeas corpus dan akan datang semula esok dengan memfailkan afidavit serta membawa bersama pesuruhjaya sumpah, supaya polis memberikan jawapan kepada permintaan mereka.
Menurutnya lagi, peguam dan keluarga tahanan mempunyai sebab untuk bertemu mereka yang ditahan.
“Kami memberitahu dua tahanan mempunyai kes di mahkamah esok dan untuk dibawa ke mahkamah esok dan Satu tahanan kami juga difahamkan akan menghadapi peperiksaan di universiti esok,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa polis hanya memberi alasan tangkapan dibuat ekoran mendakwa tahanan mengancam ketenteraman awam walaupun tiada bukti yang kukuh dikemukakan.
“Kami beritahu bahawa mereka tidak mengancam keselamatan negara, tidak ada apa-apa bukti atau perkara yang dijumpai atau keterangan kukuh mengatakan mereka yang ditahan mengancam ketenteraman awam, mereka sebenarnya hanya aktivis-aktivis politik dengan satu parti politik yang didaftarkan.
“Kami memberi alasan-alasan yang kukuh mengapa kami mesti berjumpa dengan anak guam kami di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga Kanun acara jenayah, semua rakyat yang ditahan berhak dibela dan peguam mesti diberi akses kepada mereka secepat mungkin,” ujarnya.
Dilaporkan sebelum ini, Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula mengikut (EO) sebaik mereka dibebaskan bersama lima lagi individu lain pada 2 Julai lalu.
Antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM, M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.
Kesemua mereka diwakili 20 peguam bela.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16551
No comments:
Post a Comment