27 July 2011

Wahabi : Fitnah liar, tuntut penjelasan segera dari Putrajaya - Mufti Perlis

Oleh G. Manimaran
July 27, 2011

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, yang didakwa turut dinamakan sebagai antara personaliti perlu dipantau berhubung isu Wahabi, mahu pihak berkuasa memberi penjelasan mengenai polemik terbaru itu dengan “segera.”

“Saya minta penjelasan segera... agar pihak berkuasa dapat memberikan penjelasan dengan kadar yang segera mengenai isu terbaru ini,” kata Juanda ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Mengenai tempoh segera yang dimaksukan, Juanda berkata, “secepat yang mungkin.”

“Saya mengharapkan satu penjelasan segera sebab ini membabitkan fitnah yang amat liar,” kata beliau ketika ditanya bahawa nama beliau turut dilaporkan, antara yang disenaraikan sebagai personaliti diminta agar dipantau berhubung isu amalan Wahabi dan dipercayai boleh menjurus kepada pemikiran radikal dan aktiviti terorisme.

Selain Juanda, turut dinamakan ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Kata Juanda, beliau sudah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai perkembangan terbaru, tetapi belum ada maklumat terbaru.

Kata beliau, penjelasan pihak berkuasa sangat penting memandangkan isu terbaru ini turut dikaitkan dengan pembabitan beberapa negara.

Tanpa menamakan negara-negara yang dimaksudkan, kata Juanda, “pihak berkuasa tidak harus membisu... sebab apa yang dikatakan boleh menjejaskan hubungan diplomatik (Malaysia) dengan negara-negara terbabit.”

“Keadilan itu adalah universal, kita kena berlaku adil kepada semua manusia,” kata beliau.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai “dikehendaki” dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.

MKN dalam satu mesyuaratnya kelmarin dikatakan telah meminta agensi-agensi agama negeri dan para mufti memantau perkembangan amalan Wahabi.

Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberitahu The Malaysian Insider isu amalan Wahabi semakin serius dan rumit sejak sejak setahun lalu.

Selain Juanda, turut dinamakan tahun lalu lalu ialah bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Isu fahaman Wahabi juga dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin dari Perlis, tetapi ia telah berulang kali dinafikan oleh Asri dan Shahidan sendiri.

Dalam komennya, Shahidan juga berkata MKN sepatutnya sensitif mengenai hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi apabila menyentuh isu-isu seperti Wahabi.

“Berdasarkan laporan media, saya mendapati nama Saudi ada disebut. Jadi, saya fikir MKN sepatutnya sensitif... kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Saudi, tidak dengan begitu mudah membuat penilaian sedemikian (berkaitan isu Wahabi),” kata Shahidan lagi dengan merujuk kepada sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Arab Saudi semasa memindahkan rakyat Malaysia dari Mesir melalui Jeddah.

“Kerajaan negeri Saudi telah menyediakan kemudahan, tanpa bayaran dan pesawat secara percuma... mengapa tidak ambil kira perkara ini, kita kena sensitif apabila membincangkan isu-isu seperti ini,” kata beliau lagi.

Isu Wahabi muncul sekali lagi April lalu ekoran kehadiran Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais dan didakwa beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Dalam kenyataannya 27 April lalu, Juanda telah menafikan perkara tersebut.

Kata Juanda ketika itu, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah “satu fitnah.”

Malah kata beliau, pandangan seorang pegawai kanan Jakim, walaupun bersifat mengesyaki, tetapi ia menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan umat Islam memandangkan Sheikh Abdul Rahman mengimamkan solat di Masjid Wilayah Persekutuan dan di Masjidil Haram di Arab Saudi yang turut dihadiri jemaah haji.

“Ia kenyataan keterlaluan,” kata beliau. - The Malaysian Insider

2 comments:

Anonymous said...

saya cetek agama. Kalau wahabi tu haram, jadi imam kat mekah tu kita tak bolrh ikut ke pasal mereka wahabi. Jadi sembahyang kat mekah tu tak sah ke pasal kita ytak boleh berimamkan wahabi. Kalau mufti wahabi, jadi siapa yang betul ni. Menteri agama mungkin boleh jawab kalau ada golf kot

Anonymous said...

nak masuk dalam tong taik sangat,,,,cuci tong taik kena cuci dari luar dulu....bontot pun cucci luar dulu...baru boleh bersih....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive