Pada 15 Mei setiap tahun warga Palestin di mana sahaja mereka terbuang akan menyambut hari Nakba – hari Malapetaka. Pada 15 Mei 1948 negara Israel telah dicacakkan ke bumi Arab. Semenjak tarikh itu warga Palestin dan Arab terus hidup dalam kesangsaraan. Tanah mereka telah dirampas. Mereka menjadi orang pelarian. Huru-hara berterusan di bumi Arab kerana karenah kaum Zionis Israel. Nakba ialah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.
Pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu pula menerima Malapetaka. Ini terjadi apabila British meninggalkan kuasa pentabiran kepada United Malays National Organisation. Semenjak 31 Ogos 1957 anak semua bangsa di Tanah Melayu telah hidup dalam kesangsaraan. Dasar ‘ketuanan Melayu’ telah membawa Malapetaka kepada Tanah Melayu. Justeru, 31 Ogos adalah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.
Pada bulan Ogos tahun 2011 ini saya akan cuba membawa para pembaca untuk memahami konsep dan intipati Malapetaka ini. Memahami Malapetaka 31 Ogos ini amat penting. Jika kita tidak tahu dari mana kita datang maka kita juga tidak akan tahu arah mana yang hendak kita tuju.
Dari sejarah Tanah Melayu, kita diberitahu bahawa pada 20 Jun 1948 British telah mengisytiharkan apa yang dipanggil ‘darurat’. Untuk saya, darurat ini macam kita dalam kereta tiba-tiba merasa sakit perut yang amat sangat. Maka kita berhenti dan mencari tandas. Kerana tidak berjumpa tandas maka kita terberak dalam belukar di tepi jalan. Kerana tidak ada sumber air maka kita dedat dengan daun. Apa yang saya kisahkan ini ialah suasana darurat. Tetapi pada tahun 1948 dahulu - tidak ada seorang pun warga Tanah Melayu yang dalam darurat. Tidak ada sesiapa yang hendak terberak di tepi jalan.
Apa yang berlaku ialah kuasa kolonial British telah diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Gerakan bersenjata ini bertujuan menghalau penjajah British dari Tanah Melayu. Dengan licik British telah mengalihkan perjuangan untuk mendapat kemerdekaan ini kepada ‘darurat. Tidak ada apa darurat. Yang hendak terberak di tepi jalan kerana diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya ialah soldadu upahan British. Soldadu upahan inilah yang sedang dalam darurat.
Berjuang mengangkat senjata ini telah membuka lanskap politik baru ke Tanah Melayu. Kuasa kolonial yang dianggap gagah dan lengkap bersenjata kini telah diserang oleh gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Kuasa kolonial British amat memerlukan bumi Tanah Melayu kerana dari bumi kita ini terdapat kekayaan biji dan getah. Punca ekonomi inilah yang ingin dipertahankan oleh penjajah. Politik ialah ekonomi. Memiliki kuasa politik memiliki punca ekonomi. Justeru penjajah British bertahan kerana lombong bijeh dan ladang getah.
Serangan bersenjata dari gerila pembebasan ini menjadikan kuasa kolonial terus berdarurat. Akhirnya British merancang satu strateji baru. Jika terus menjajah maka perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya ini akan merebak luas. Tuntutan untuk merdeka akan merebak untuk menjadi ajenda anak semua bangsa. Keadaan sedemikian amat bahaya untuk British.
Justeru, British memerlukan budak suruhan yang baik sebagai ganti sebelum mengundur. Dengan licik dan terancang British telah memasang dua ekor kuda. Seekor kuda bernama Onn Jaafar dan seekor lagi bernama Tunku Abdul Rahman. Seperti di Iraq hari ini kuasa kolonial Amerika memasang lebih dari saekor kuda. Ada kuda bernama Nouri al-Maliki, ada Jalal Talabani dan ada Tariq al-Hashmi.
Kuasa kolonial kulit putih sedar dengan memasang beberapa ekor kuda mereka akan dapat mencari barua yang setia. Terlalu ramai anak tanah jajahan yang bersedia untuk menjadi budak suruhan dan mengikut kata tuan kolonial. Taktik British cukup senang – siapa yang dapat membuktikan yang mereka lebih setia kepada tuan penjajah maka sosok itu akan dinobatkan. Inilah taktik kuasa kolonial dalam percaturan reapolitik. Ianya berlaku dahulu dan sedang dijalankan sekarang.
Di Tanah Melayu kuasa kolonial British telah memilih United Malay National Organsiation untuk menjadi barua mereka. Parti Kebangasan Melayu Muda, AWAS, API, Hisbul Musliamin, Parti Komunis Malaya – adalah parti-parti yang menentang British. Parti-parti ini mengangkat senjata menentang British. Parti ini akan membawa merdeka tetapi amat bahaya untuk kepentingan British. Ini berbeza dengan United Malay National Organisation yang bekerjasama dan menjadi barua British.
Buktinya apa yang saya tulis ini cukup jelas. Pada bulan Ogos ini cuba baca – tak perlu beli - akhbar milik United Malaya National Organisation. Akan penuh dengan dengan kisah melawan komunis. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka. Ketika anak semua bangsa bangun melawan penjajah British, United Malay National Organisation diupah oleh British untuk menentang dan melawan orang yang menentang British. Orang angkat senjata lawan Britsih gerombolan ini angat senjata lawan orang yang lawan British. Inilah kerja barua. Inilah Malapetaka yang saya maksudkan.
Kita akan muntah taik setiap tahun apabila melihat Bukit Kepong dikaca tv. Memang betul ada serangan ke rumah pasong Bukit Kepong. Memang betul polis yang diserang ketika itu adalah polis Melayu. Tetapi polis Melayu ini adalah polis upahan British. Kerana mereka Melayu tidak semestinya apa yang mereka lakukan baik dan betul. Melayu bukan bermakna betul. Ada Melayu barua dan ada Melayu nasionalis.
Anak muda hari ini juga wajib diberitahu bahawa serangan Bukit Kepong itu dipimpin oleh Mat Indera. Mat Indera ialah seorang nasionalis kiri Melayu. Ini tidak terdapat dalam filem Bukit Kepong kerana United Malay National Organisation tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada Melayu yang berani angkat senjata melawan British. Dan dalam Parti Komunis Malaya amat ramai ahlinya, kadernya dan pucuk pimpinan terdiri dari orang Melayu.
Dari awal lagi British telah menjalankan dasar pecah dan perentah. Melayu, China dan India tidak ada akan dibenarkan bersatu. Pada tahun 1947 apabila ada kerja sama dan setiakawan yang erat diantara bangsa-bangsa maka muncul Perlembagaan Rakyat. Jawapan British kepada Perlembagan Rakyat 1947 ialah melakukan penangkapan beramai ramai. Satu tahun kemudian Tanah Melayu diistiharkan darurat – perang kolonial bermula.
Dasar pecah dan perintah dan dasar rasisma British ini telah diambil oleh United Malay National Organsation untuk diguna pakai hingga ke hari ini. Justeru, sebagai contoh terbaru, kita lihat bagaimana media dan tv United Malay National Organisation cuba menunjukan kepada umum bahawa tidak ramai bukan Melayu yang turut serta dalam tunjuk perasaan Bersih pada 9 Julai dahulu. Maknanya gerakan Bersih ini tidak dapat sokongan dari masyarakat bukan Melayu. Ertinya 9 Julai gagal.
Taktik pecah dan perintah ini adalah taktik yang ampuh untuk digunapakai oleh pemerintah yang zalim. Lihat di Palestine. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini tanpa henti henti. Warga Palestin terus diserang oleh kaum Zionis. Bagitu juga di Tanah melayu, semenjak 31 Ogos 1957 dahulu, Malapetaka ini bukan berkurangan malah terus bertambah. Malapetaka yang dibawa oleh United Malay National Organisation ini dari hari ke hari semakin mencekek kehidupan warga.
Kaum Zionis di Palestin telah menggunakan rasisma sebagai senjata yang ampuh. Kaum Yahudi telah dinobatkan sebagai kaum terpilih bukan sahaja di dunia ini malah diakhirat juga. Di Tanah Melayu ini, United Malay National Organisation telah mengunakan falsafah ‘ketuanan Melayu’ dimana dikatakan manusia Melayu memiliki hak hak yang istemewa. Di heboh heboh dan dicanang ke hulu ke hilir bahawa tanpa ‘ketuanan Melayu’ dan tanpa United Malay National Organisation negara kita ini tidak mungkin wujud. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka.
Hari ini secara dirancang melalui akta dan peraturan garis pisah bangsa-bangsa telah diwujudkan. Melalui hukum dan syarat yang disadur dengan agama, tembok pemisah telah didirikan. Setiakawan antara India, Melayu dan China tidak dibenarkan mengampoh budaya bangsa. Prasangka antara bangsa bangsa sengaja diatur dan di susun untuk memastikan orang ramai terus syak wasangka sesama sendiri. Suasana syak wasangka ini amat baik untuk United Malay National Organisation meneruskan kuasa. Inilah yang saya maksudkan dengan Malapetaka.
Ogos bulan Malapetaka ini sedang memperlihatkan kepada orang ramai bagaimana taktik pecah dan perentah dijalankan. Minggu lalu, tetiba media kita heboh dengan berita Melayu murtad. Berita Melayu makan dalam gereja. Berita tentang penganut agama Kristian bersedekah kerana berniat untuk memurtadkan Melayu. Semua yang berlaku ini sebenarnya ialah taktik United Malay National Organisation.
Sebelum berita Melayu murtad ini kita telah membaca berita kepala babi ditemui dalam kawasan masjid. Berita Masjid dilempar cat. Berita gereja dibakar.
Apa makna semua ini?
Semua ini adalah taktik dan strategi gerombolan United Malay National Organisation untuk menakut nakutkan Melayu. Manusia Melayu wajib terus ditakutkan. Jika manusia Melayu takut maka mereka akan mencari perlindungan. United Malay National sedang memasang lukah untuk memerangkap Melayu yang takut. Apa dia Melayu yang takut?
Melayu yang takut adalah Melayu yang rendah diri. Melayu yang berjiwa hamba. Melayu yang sanggup mencium ke bawah duli. Melayu yang telah bagitu lama ditakut takutkan sehinggakan tidak lagi memiliki initiatif sendiri. Melayu yang takut ini cukup bijak dengan budaya bodek yang telah disebarkan oleh United Malay National Organisation. Melayu yang takut ini hanya sanggup menerima fatwa kerana tidak ada memiliki fikrah yang kritikal. Otak manusia Melayu yang takut ini telah di bonsaikan oleh United Malay National Organisation semenjak 31 Ogos 1957. Justeru tarikh itu saya nobatkan sebagai hari Malapetaka untuk Tanah Melayu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=18809
1 comment:
hari kebangkitan umno...
Jom terjah sini:
Antara Sebab Malaysia Kalah Degan Singapore
Post a Comment