Apabila berita 'serbuan' JAIS ke gereja Methodist di Damansara mula kencang diperkatakan, kita dapati akhbar Melayu , terutamanya Utusan Malaysia telah mensensasikan berita tersebut yang dilihat sebagai propaganda politik untuk menarik sokongan kepada agenda mereka.
Seakan-akan Utusan sangat prihatin untuk menjaga kemurnian ajaran dan amalan Islam serta kepentingan Melayu. Demi menjaga kemurnian ajaran dan amalan Islam serta kepentingan Melayu itu , maka ummah secara tersurat dan tersirat tiada mempunyai pilihan kecuali mempertahankan sokongan mereka kepada UMNO.
Sebaliknya ada pula pemimpin Pas yang mengatakan 'serbuan' tersebut adalah agenda UMNO untuk menutup beberapa isu hangat politik semasa. Pemimpin Pas yang paling tertonjol agaknya adalah Khalid Samad, Ustaz Idris Ahmad tidak begitu diberi perhatian.
Bahkan Khalid Samad menulis di dalam blog-nya mengulas isu serbuan ini dari angle yang agak menarik. YB Dato Hassan Ali pula mempertahankan JAIS dan rela dikenakan apa-apa tindakan dari kerajaan negeri dan partinya sendiri.
Kita juga membaca kenyatan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong JAIS dan juga kenyataan Dr. Asri Zainal Abidin yang mempersoalkan tindakan JAIS di dalam Malaysiakini kemudian di petik oleh beberapa blog. Seperti biasa MAZA memang mahir menunggangi arus populariti, dia adalah seorang selebiriti agama bagi sebahagian ahli masyarakat kita termasuk dalam isu ini.
Sebelum kita memperkatakan sudut pandang kita ke dalam isu ini, kita perlu menentukan beberapa tanggapan asas:
1-Adakah JAIS bertindak luar bidang kuasanya dan melanggar peraturan yang sediada?
2-Atau adakah tindakan JAIS itu merugikan Islam dan Ummah, terutamanya ianya adalah tindakan yang tidak syar'ie?
3-Adakah benar majlis tersebut mengandungi unsur-unsur dakyah untuk menarik orang Melayu kepada ajaran kristian di dalam majlis tersebut?
4-Adakah benar terdapat unsur-unsur amalan (rituals)keagamaan semada kristian atau campur-aduk antaragama di dalam majlis tersebut?
Sekira JAIS telah melepasi bidang kuasanya atau melanggar mana-mana peraturan, maka pihak berwajib negeri perlu meluruskan perkara ini, ianya masaalah pentadbiran . Yang salah perlu diperbetulkan.
Sekiranya JAIS bertindak melanggari ketetapan syara, serta bertindak merugikan agama dan ummah, maka pihak berwajib dan ulama perlu bertindak agar JAIS patuh sepenuhnya kepada ketentuan syara', perkasakan JAIS agar ianya menjadi badan agama yang berwibawa dan berfungsi mengikut ruh dan amalan syara'.
Bagaimanapun sekiranya JAIS bertindak mengikut peraturan dan dalam bidang kuasanya serta mengikut ketentuan syara', JAIS perlu diberi sokongan oleh semua pihak, kelemahan yang ada perlu diperbaiki, imej JAIS perlu dijaga, peranan JAIS perlu dipertingkatkan.
Bukankah soal-soal beginilah yang dilaung-laungkan oleh UMNO, yang diperjuangkan oleh Pas, yang didukung oleh PKR bahkan PERKASA.
Adakah terdapat unsur-unsur dakyah kepada agama kristian di dalam majlis tersebut dan terdapat ungkapan-ungkapan 'rituals' bagi agama tersebut?. Apakah kebimbangan bahawa majlis seumpama ini memang bertujuan secara tersiratnya kalaupun tidak secara tersurat agar ummah Islam cenderung untuk memeluk kristian itu mempunyai asas?.
Kita ummah Islam mengetahui bahawa jenayah murtad adalah jenayah yang tersangat berat. Sehingga jenayah tersebut lebih berat daripada bunuh, di dalam mazhab Imam as-Syafi'ie sememangnya hukuman bagi orang murtad adalah bunuh. Ayat 191 surah al-Baqarah yang menyebut 'fitnah itu lebih dahsyat dari pembunuhan" telah ditafsirkan oleh ulama yang fitnah di dalam ayat ini bermaksud kekufuran , maka kemurtadan itu lebih berat lagi dari kekufuran yang asal. Lihat juga ayat 193 surah yang sama.
Rasulullah mengingatkan kita yang kita sepatutnya takut dan bimbang tergelincir dari Islam lebih daripada takut dan bimbang daripada dicampak ke dalam api yang marak membakar. Itulah sepatutnya 'paradigm' kita dalam soal yang berkaitan dengan isu murtad. Ianya bukan soal secondary bagi pemerentah Islam, masyarakat Islam , keluarga Islam dan individu Islam. Pemerentah bertanggung-jawab menjaga agama, maksudnya mempertahankan faham agama, mengamalkan amalan agama dan menyekat penyelewengan dan kemurtadan dari agama.
Tidak layak dan sekali-kali tidak patut bagi mana-mana pimpinan organisasi Islam yang menjadikan isu murtad sebagi isu secondary. Bagaimana tergamak agaknya Khalid Samad mengatakan sekira memang terdapat dakyah-dakyah untuk mengkristiankan orang Islam (sekiranya tidak dipaksa), maka JAIS tidak layak menyerbu, sebalik JAIS sepatutnya menggunakan saluran undang-undang untuk mencegah kemaksiatan ini , dari mana datangnya logik beliau ini?.
Rasulullah berpesan kepada kita sekiranya kita melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah kita ubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan hati, dan itu adalah sedaif-daif iman. Apakah ada maksiat yang lebih dahsyat daripada kemurtadan? Atau kita bertanya adalah tindakan JAIS dalam kes ini menyalahi undang-undang dan peraturan yang sedia ada?.
Kita membaca yang Dr.Asri Zainal Abidin dengan sinisnya membuat suatu perbandingan atau qias (dalam istilah feqah) mempersoalkan larangan orang bukan Islam dari memasukki masjid, serta tegahan orang Islam berada di gereja: katanya kalau larangan orang Islam berada di gereja kerana bimbangkan orang Islam meninggalkan Islam, maka apakah larangan orang bukan Islam memasukki masjid kerana bimbangkan orang bukan Islam memeluk Islam?
Masyaallah kenyataan ini datangnya dari seorang bekas mufti, yang sepatutnya bercakap mengikut syara', berdasarkan al-Quran dan sunnah serta fahaman dan amalan salaf as-soleh.
Bagaimana agaknya MAZA memahami ayat 28 Surah at-Taubah:
"Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrikin itu najis, jangan (benarkan) mereka mendekati Masjid al-Haram selepas tahun mereka yang ini (9 hijrah), dan sekiranya kamu takut ianya akan membebani kamu (kerana kekurangan sumber pendapatan), maka Allah nanti akan memberi kekayaan kepada kamu dari anugerah-Nya sekiranya dikehendaki-Nya, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."
Imam Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya yang Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengeluarkan arahan kepada gabnor-gabnor nya agar mencegah orang kafir daripada memasukki masjid. Larangan orang kafir memasukki masjid adalah persoalan feqah, kita juga mengetahui khilaf ulama tentang hukum tersebut, sekiranya MAZA tidak bersetuju dengan tegahan tersebut, maka bahaskan dari sudut feqah, mana pendapat yang rajih dan mana pula yang marjuh.
Tentang larangan berada di dalam majlis keagamaan penganut agama lain itu atau bersamaan dengan mereka itu sangat jelas dihuraikan oleh Imam Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya 'al-Iqtida', Besarlah hati kita untuk membaca huraian MAZA tentang apa yang dikupas oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya yang berharga ini.
Dipetik daripada Muqabalah Blog
No comments:
Post a Comment