22 August 2011

TERKINI Dari Mahkamah > DSAI pilih bela diri di kandang tertuduh

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk memberi keterangan di kandang tertuduh bagi membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang bermula di sini hari ini.

Ketika prosiding bermula, Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu mahkamah anak guamnya akan memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata Anwar mempunyai tiga pilihan memberi keterangan di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak
memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Pada 8 Ogos, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemu bual antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Pada 12 Ogos, Najib dan Rosmah hadir ke mahkamah untuk temu bual itu dan masing-masing meluangkan masa kira-kira lima minit dalam bilik mesyuarat bersama Karpal dan S.N. Nair serta Anwar.

Pada 16 Mei, Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan Mohd Saiful, iaitu pengadu dalam kes itu berkata benar dan saksi yang boleh dipercayai.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap tuduhan melakukan hubungan bertentangan hukum alam di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive