03 August 2011

Demi sekeping kertas undi, Najib rela gadai keselamatan negara


PETALING JAYA, 3 Ogos: Keselamatan negara kita akan tergadai sekiranya rakyat asing boleh menjadi warganegara dalam masa beberapa jam sahaja, malah dibenarkan untuk mendaftar sebagai pengundi.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, berdasarkan bukti-bukti tentang penipuan yang sedang berlaku dalam senarai pengundi, pilihan raya umum ke-13 akan datang bakal menjadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah Malaysia, lapor Roketkini.

Katanya, penipuan terbaru terbongkar apabila Malaysiakini melaporkan bahawa pemastautin tetap (PR) rakyat asing telah dibenarkan mendaftar sebagai pengundi.

“Malah yang lebih mengejutkan ialah dalam masa empat jam sahaja, status pengundi baru yang menimbulkan kecurigaan itu telah ditukar daripada pemastautin tetap kepada warganegara Malaysia, mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini petang semalam mengenai seorang individu bernama “Mismah” dengan kad pengenalan bernombor 640704-71-5238 yang mempunyai PR yang mendaftarkan diri sebagai pengundi. Dalam laporan yang dikemaskini kemudian, Malaysiakini melaporkan “Mismah” sudah menjadi warganegara, tidak sampai empat jam selepas laporan berita asal disiarkan.

Pua mendakwa penipuan itu membuktikan wujudnya konspirasi keji di antara Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN untuk menipu secara besar-besaran dalam PRU akan datang.

Beliau menambah konspirasi penuh penipuan itu turut membuktikan bahawa cadangan sistem biometrik untuk pilihan raya sebagaimana yang dicadangkan oleh SPR untuk “membanteras pengundi hantu” jelas gagal sebelum dimulakan.

“Jika sistem JPN kita boleh dimanipulasi begitu mudah, tidak ada sebarang jaminan kukuh bahawa kerajaan dapat memastikan sistem biometrik yang bernilai beratus juta ringgit itu akan menjamin pilihan raya yang bersih, telus dan selamat,” tambah beliau.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata penipuan demi penipuan dibongkarkan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menggesa BN untuk mencapai kemenangan dengan apa cara sekali pun.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa “penganugerahan” kepada rakyat asing, terutamanya dari Indonesia, untuk menjadi warganegara pernah dilakukan melalui Projek IC atau Projek M di Sabah (sewaktu era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad) bagi mengurangkan kuasa politik Bumiputera di negeri itu.

Sebagaimana yang diketahui umum, katanya, Sabah mengalami pertambahan penduduk yang luar biasa setelah ramai warga asing menjadi rakyat Malaysia dalam masa yang amat singkat.

Pua berkata, BN juga menggunakan rasuah wang dalam pilihan raya, sebagaimana yang dibuktikan sewaktu pilihan raya negeri Sarawak April lalu, dan jika tekanan dan pembelian undi ditolak oleh rakyat, BN menggunakan apa sahaja cara untuk menipu dalam pilihan raya.

Menurutnya, kerajaan BN yang turut menguasai media massa dan agensi keselamatan negara terus mengekang dan menekan rakyat termasuk memperlekeh serta menindas perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hanya bertujuan membersihkan amalan pilihan raya di nehara ini.

Justeru itu, tuntutan pertama Bersih 2.0 menekankan tentang pelaksanaan usaha membersihkan senarai undi, iaitu dengan menyingkirkan segera ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal dunia, yang berganda pendaftaran, yang bukan warganegara dan sebagainya.

Sementara itu, Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof menafikan pemastautin tetap telah didaftarkan sebagai pengundi, dengan member alasan ia mungkin kesilapan teknikal oleh JPN.

“Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini,” katanya.

Penjelasan Abdul Aziz telah dibidas oleh Ahli Parlimen DAP Tanjung Chow Kon Yeow kerana tidak cukup maklumat serta tidak menerangkan bagaimana “kesilapan teknikal” itu boleh berlaku.

Menurutnya, SPR tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan yang lekeh itu kerana tanggungjawabnya ialah memastikan kesahihan senarai pengundi.

“Kejadian ini telah menggambarkan betapa seriusnya masalah penyelarasan antara agensi kerajaan yang pasti menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya kita,” katanya.

Chow yang juga Exco kerajaan negeri Pulau Pinang mempersoalkan bagaimana rakyat negara asing boleh menjadi pengundi di Malaysia menjelang PRU ke-13 akan datang.

Beliau meminta SPR dan JPN menyatakan secara terperinci jumlah rakyat asing yang telah menjadi warganegara Malaysia yang didaftarkan sebagai pengundi untuk tiga tahun sebelum ini.

“Pengundi Malaysia berhak untuk tahu sama ada berlaku penyelewengan dalam trend senarai undi. Saya amat berharap institusi-institusi kerajaan kita tidak menjadikan rakyat asing sebagai pengundi semata-mata hanya kerana mahu mengekalkan rejim yang korup sebagai kerajaan,” tambah beliau. – Roketkini.

1 comment:

otaklunyai said...

Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha berkuasa. Diatas segala sifat Rahim MU dan kegagahan MU aku memohon agar negara kami dan rakyat yang tidak berdosa dilindungi dari fitnah dan kezaliman pemimpin2 kami yang zalim dan jahat ini dan mereka yag bersubahat menjayakan kejahatan ini. Sesungguhnya kami tidak berdaya melawan kezaliman dan kejahatan mereka yg disokong oleh penguasa yang zalim. Diatas keberkatan bulan yang mulia ini dan diatas ibadah puasa yang kami lakukan hanya kerana MU Ya Allah Kami memohon kepada MU Ya Allah supaya ditukarkan kerajaan ini dan pemimpin2 ini dgn mereka yang lebih baik yang akan membawa kepada keadilan dan kemakmuran agar dapat kami kyushuk dan tawadduk berinadat kepada Mu Ya Allah. Ya Allah Tuhan yg maha Menghukum, hukumilah pemimpin2 yg zalim ini dan mereka yang bersubahat melakukan pengkhianatan ini supaya menjadi pengajaran.

Hanya kepadaMu lah sebaik2 tempat kami berlindung... Amin Ya Rabbal Alamin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive