SHAH ALAM: Dua belas individu beragama Islam yang menghadiri majlis 'Thanksgiving' di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) beberapa minggu lalu hadir memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Menurut sumber, kesemua individu tersebut mula memberi keterangan pada pukul 10 pagi Isnin di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.
Ketika ditanya adakah semua individu tersebut hadir untuk memberi keterangan, sumber tersebut mengatakan: 'Ya.'
Difahamkan kenyataan mereka direkodkan oleh pegawai bahagian pengurusan dan penguatkuasaan JAIS.
Menurut sumber itu lagi, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishammuddin yang mewakili 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada JAIS.
“Sebelum ini, mereka sudah menerima surat untuk hadir memberi keterangan namun gagal berbuat demikian pada Selasa lalu.
"Sedangkan mereka adalah saksi kepada kes penyebaran agama bukan Islam kepada Islam, jadi kita perlu memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan.
“Peguam mereka sudah memahami keadaan ini dan membenarkan anak guam mereka untuk hadir. Mereka boleh ditangkap jika masih gagal berbuat demikian," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Pada 3 Ogos lalu, JAIS telah menjalankan operasi memeriksa di gereja DUMC selepas mendapat maklumat kehadiran sebilangan orang Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.
Ketika pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seorang penceramah dikatakan sedang menyampaikan ucapan dengan menyelit bacaan ayat al-Quran dan juga terdapat dakwaan yang mengatakan adanya aktiviti lain yang meragukan.
Mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 jika didapati bersalah.
Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment