08 August 2011

Kutipan zakat tinggi, tapi umat Islam masih miskin? Bila dapatkan bantuan dari pihak lain hampa marah ...

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menuntut pihak yang mempunyai autoriti dalam institusi zakat di Selangor supaya tidak hanya berbangga dengan kutipan zakat yang meningkat setiap tahun.

Ini kerana Pengurusan zakat di Selangor sepatutnya telah menyelesaikan masalah pembangunan ekonomi dan taraf hidup umat Islam serta menjadi teladan kepada negeri-negeri lain, kata Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Ridzwan.

“Wang zakat yang dikutip setiap tahun meningkat. Tetapi dalam masa sama orang-orang Islam masih lagi dihimpit kesusahan dan kesempitan hidup.

“Wang zakat adalah amanah yang perlu diurus dengan sebaik mungkin dan sampai kepada penerima yang berhak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu wang zakat timbul selepas kes serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), kononnya wujud usaha memurtadkan umat Islam.

Difahamkan, umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam itu adalah bagi mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.

Menurut Hasbullah, DPPNS bersetuju dengan pandangan bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin supaya pihak bertanggungjawab terhadap agama Islam di negara ini mengambil tindakan pro aktif untuk menjaga kebajikan ummah.

Dr Asri sebelum ini menyeru semua pihak tidak menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu perlu ditanya kepada umat Islam sendiri.

Justeru DPPNS berharap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor mencontohi kebijaksanaan pengurusan zakat semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sehingga menjadi sebuah negeri yang maju dan mapan.

“Kita berharap tiada lagi berita di media cetak dan elektronik yang mengatakan bahawa ada ibu tunggal yang dinafikan hak mereka untuk mendapatkan zakat.

“Atau ada saudara baru yang tidak diberikan zakat atau pelajar-pelajar anak Selangor yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi terpaksa memendam hasrat kerana tiada sumber kewangan,” ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=18460

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive