09 August 2011

"Percubaan halus memurtadkan orang Islam (dengan) menarik ke agama Kristian mesti dihalang"

PERKASA Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya kerana mengesyaki terdapat "unsur-unsur memurtadkan" orang Islam dalam majlis anjurannya.

Yang Dipertua PERKASA Selangor Abdullah Mansor (kiri) berkata, berdasarkan laporan pelbagai akhbar dan blog, beliau turut mengesyaki majlis pungutan derma anjuran gereja mempunyai agenda halus untuk mengembangkan agama Kristian.

"Walaupun kebebasan beragama adalah amalan negara Malaysia akan tetapi percubaan halus memurtadkan orang Islam (dengan) menarik ke agama Kristian mesti dihalang kerana ia salah di sisi undang-undang negara," katanya.

Abdullah membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Dalam laporannya, beliau memetik sebuah blog yang dikenali senagai Belantan kelmarin yang mendakwa tetamu Islam diberikan kitab Injil dalam bahasa Melayu untuk memesongkan akidah mereka.

"PERKASA negeri Selangor menggesa pihak polis dan pihak yang bertanggungjawab supaya menyiasat peristiwa ini dengan terperinci kerana ia amat sensitif dan boleh mengancam ketenteran awam," katanya.

Abdullah juga menggesa siasatan dibuat bagaimana Injil berbahasa Melayu boleh sampai ke semenanjung sedangkan ia hanya untuk edaran di Sarawak.

"Kesan daripada kebebasan pengedaran Bible tersebut di semenanjung Malaysia akan menjurus kepada ramainya orang Islam yang keliru dan besar kemungkinan akan menjadi murtad," katanya.

Kes itu sekarang sedang disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). - malaysiakini

1 comment:

Anonymous said...

Yang pentingnya, tolong jelaskan apa yang dikatakan "percubaan" dan "halus". "Percubaan", sila tunjukkan bukti yang kukuh. "halus", adakah memberi bantuan kepada orang Islam itu satu percubaan yang halus yang dimaksudkan. Saya tanykan ini kerana persatuan Buddhis saya memberi bantuan hidup secara ikhlas kepada orang miskin tanpa mengira kaum dan agama(termasuk Islam)sempena Perayaan Wesak. Saya mula meragu amalan kami kerana erti "halus" itu sangat luas dan subjektif skopnya dan mudah dituduh.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive