BANGI 29 OGOS : Rating sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merudum kepada 59 peratus mengikut 'survey' terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Merdeka Center hari ini.
Rating sokongan kepada beliau merosot 6 peratus berbanding 65 peratus Mei lalu dipercayai kerana kebimbangan terhadap peningkatan kos hidup oleh rakyat selain isu kenaikan harga petrol dan elektik.
"Dari survey ini, kami mendapati kadar sokongan yang turun mendadak adalah disebabkan meningkatnya kebimbangan kenaikan kos sara diri....Selain isu tersebut, keputusan turut menunjukkan perkaitan dengan pandangan awam tentang bagaimana kerajaan menguruskan hal seperti himpunan BERSIH 2.0 dan acara lain," mengikut laporan tersebut.
Hasil kajian turut menunjukkan Najib masih gagal menyeru sokongan masyarakat Cina dengan hanya 38 peratus yang puas hati dengan kepimpinan beliau.
Hanya kaum India sahaja yang memberi sokongan bertambah kepada Najib dengan peningkatan 4 peratus kepada 69 peratus berbanding Mei lalu.
Kaum melayu bagaimanapun dilihat semakin kurang yakin dengan Najib apabila sokongan yang diterima semakin berkurang daripada 76 peratus pada Mac tahun ini, 73 peratus pada Mei dan kini hanya 69 peratus berpuas hati dengan kepimpinan beliau.
Selain itu hampir setengah (49 peratus) dari responden menyatakan mereka memahami permintaan BERSIH 2.0 mengenai penambahbaikan Sistem pilihan raya negara ini.
Hanya 39 peratus yang puas hati dengan cara kerajaan mengawal isu berkenaan BERSIH dengan 48 peratus menyatakan sebaliknya.
Lebih menarik, majoriti bersetuju dengan beberapa permintaan BERSIH 2.0. Lebih dua pertiga menyatakan sokongan membenarkan pemantau dari dalam dan luar negara memantau pilihan raya kita (70 %), membenarkan akses media kawalan kerajaan kepada pembangkang untuk kempen pilihan raya (68%), penggunaan dakwat kekal (70%) dan pembersihan daftar pemilih (88%).
Hasil kajian ini juga menunjukkan rakyat Malaysia masih berbelah bahagi dalam pelbagai isu penting dengan hanya 51 peratus, berbanding 54 peratuts Mei lalu yang bersetuju bahawa negara ini menuju ke arah yang betul.
"Kajian menunjukkan kebimbangan awam masih berkaitan ekonomi dengan 38 peratus menyatakan demikian diiikuti masalah sosial dengan 10 peratus. Isu kebimbangan berkaitan politik pula di tangga ke tiga dengan 9 peratus dan perkenaan jenayah dan keselamatan awam, 7 peratus," mengikut laporan tersebut.
Kajian ini melibatkan 1,027 responden dengan pembahagian kaum 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India dipilih mengikut Metodologi sampel berdasarkan etnik, umur, jantina dan negeri kelahiran dari seluruh Semenanjung
No comments:
Post a Comment