07 August 2011

Serbu Gereja : Enakmen 1988 beri Jais ruang tindak ke atas bukan Islam

Oleh Clara Chooi dan Debra Chong

PETALING  JAYA, 7 Ogos — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dipercayai telah bertindak mengikut lunas perundangan ketika menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama di sini kerana enakmen diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1988 membolehkan tindakan ke atas bukan Islam.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata, peruntukan itu bermakna pihak berkuasa hanya boleh bertindak mengikut undang-undang syariah.

Justeru kata Lim, tindakan berkaitan dakwaan bahawa majlis makan malam anjuran gereja menggunakan kalimah “al-Quran” dan “doa” untuk memurtadkan orang Islam tidak tertakluk dalam konteks penguatkuasaan agama.

“Sementara Jais kemungkinan ada kuasa perundangan untuk memasuki premis, ia harus dilakukan menggunakan asas perundangan yang betul, di mana satu kesalahan didapati telah dilakukan.

“Daripada fakta-fakta yang wujud, tiada asas bagi tindakan menyerbu,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada The Malaysian Insider.

Menurut Lim terdapat empat undang-undang yang memberi kuasa yang luas kepada pihak berkuasa untuk bertindak dalam soal berkaitan dengan agama iaitu Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), yang menggariskan tindakan-tindakan memurtadkan dilakukan oleh bukan Islam ke atas Muslim, membolehkan pihak berkuasa agama untuk melancarkan siasatan dan menahan mana-mana individual tanpa waran.

Beberapa kesalahan yang digariskan termasuklah memujuk atau menggalakkan Muslim untuk tukar agama, menerima arahan ataupun untuk menyertai mana-mana aktiviti demi kepentingan agama bukan Islam; jika bukan Islam berkomunikasi dengan seseorang yang beragama Islam bagi mengakibatkan mereka didedahkan kepada sebarang ucapan berkaitan agama bukan Islam dan jika seseorang menggunakan sesetengah perkataan untuk menggambarkan kepercayaan agama bukan Islam.

Seksyen 11 enakmen itu juga menggariskan kesalahan-kesalahan yang “berat”, di mana di bawah Kanun Prosedur Jenayah tidak menghalang polis daripada menyerbu mana-mana kawasan persendirian seperti yang disaksikan di premis Gereja Methodist Damansara Utama.

The Malaysian Insider difahamkan wakil rakyat DAP pernah menimbulkan bangkangan mereka ketika enakman itu digubal di Dewan Undangan Negeri Selangor 1988 atas alasan itu menghakis hak asasi masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun enakmen itu diluluskan termasuk dengan sokongan wakil rakyat bukan Islam, khasnya dari MCA.

Penasihat DAP Lim Kit Siang mengesahkan kontroversi itu dengan menegaskan, enakman itu sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

“Saya tidak boleh ingat dengan spesifik butiran undang-undang itu, tetapi DAP telah menentang dengan keras,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Pun begitu, Lim enggan mengulas apabila ditanya sama ia bermakna MCA dan BN harus dipersalahkan berbanding Pakatan Rakyat yang memerintah kerajaan negeri Selangor ekoran serbuan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

“Buat masa ini, kita masih tidak tahu dengan tepat asas Jais mengadakan serbuan, jadi sukar untuk mengatakan siapa yang salah dan siapa yang betul.

“Biar kita tunggu (Menteri Besar Selangor Tan Sri) Khalid Ibrahim membuat kenyataan,” kata beliau.

Kerajaan negeri Selangor berhadapan dengan kecaman ekoran laporan bahawa Jais menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama malam Rabu lalu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga mengecam Exco Kerajaan Negeri Datuk Hasan Ali yang mempertahankan tindakan Jais.

Hasan, exco yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama, dijangka akan memberi penjelasan kepada PAS hari ini - The Malaysian Insider

2 comments:

Anonymous said...

"Kemenangan Hak Allah" Laksanakan Perintahnya,dan jangan Takut kepada Manusia yang bernama Kafir!!

otaistillkick said...

Yang perlu adalah Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakt membuka mata seluas-luasnya. Kenapa perkara ini bolih berlaku. Lebih lagi kepada umat islam di Malaysia ini.

Terjemahan kitab injil dalam bahasa melayu. Ini akibat kebenaran kerajaan yang telah memberi kelulusan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive