KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus berhadapan dengan kritikan pihak tertentu mempertahankan agensi itu sambil berkata, pihaknya tidak pernah “memanipulasi pilihan raya” dan tidak bertindak bagi pihak Barisan Nasional (BN).
“Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Menerusi tulisan terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia, Wan Ahmad berkata, semasa pilihan raya negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi.
“SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit,” katanya lagi.
“Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah ‘membeli undi’ dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut,” katanya lagi.
Katanya, ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan sikap pilih kasih dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini.
“Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil,” kata Wan Ahmad lagi.
Wan Ahmad memberi pandangan terbaru ini ketika jawatankuasa pilihan khas bagi pembaharuan pilihan raya bakal ditubuhkan Oktober ini.
Jawatankuasa itu dijangka akan mengemukakan syor kepada SPR untuk melaksanakannya.
Dilihat merujuk kepada syor-syor itu, kata Wan Ahmad, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya.
Katanya, SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau akta-akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara.
“Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain.
“Kadangkala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini,” kata beliau lagi.
Wan Ahmad menambah, apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR.
Lazimnya menurut beliau,parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.
“Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak,” katanya lagi.
Selain parti-parti politik, tambah beliau, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya.
“Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa-apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit,” kata Wan Ahmad lagi.
“Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan. SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal,” katanya lagi. - TMI
No comments:
Post a Comment