Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.
Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan sahaja anggota keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV.
Selepas bacaan talkin disempurnakan, anggota keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat.
Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.
Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Antara warga Bernama yang hadir ialah Pengerusinya Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong.
Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain.
Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan anggota keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.
Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik.
Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.
Jenazah Noramfaizul kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah berdekatan untuk sembahyang jenazah untuk kali kedua sebelum disemadikan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment